Home » Tubuh jawatankuasa khas tangani tanah-tanah persekutuan: James
Berita Tempatan Politik

Tubuh jawatankuasa khas tangani tanah-tanah persekutuan: James

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berharap agar dalam tahun ini sehingga tahun depan isu berkenaan tanah-tanah di Sabah diselesaikan atau diputihkan supaya tidak ada lagi tanah-tanah yang belum dipohon atau tanah-tanah yang berstatus PT.

KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas wajar ditubuhkan bagi menangani hal berkaitan tanah-tanah Persekutuan di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, jawatankuasa khas itu akan membuat pemutihan ke atas semua tanah-tanah berkenaan.

“Melalui jawatankuasa ini, kita akan dapat mengenal pasti mana tanah-tanah kerajaan yang sudah ada geran, mana yang masih berstatus Permohonan Tanah (PT) dan mana bangunan-bangunan kerajaan persekutuan yang masih belum dipohon.

“Ini perlu, supaya projek-projek yang akan datang dapat dimulakan dengan kadar yang segera,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, tiada guna juga para Ahli Parlimen dan pemimpin bersuara lantang di peringkat Pusat meminta peruntukan untuk Sabah, sedangkan isu tanah di Sabah belum selesai. 

Katanya, ia menyebabkan semua peruntukan tidak dapat diselesaikan kerana perkara asas belum selesai dan begitu juga dengan teknikal utiliti lain.

“Kita mahu supaya ada satu penyelarasan di Sabah untuk menyelesaikan isu-isu asas ini,” katanya.

Beliau berharap agar dalam tahun ini sehingga tahun depan isu berkenaan tanah-tanah di Sabah diselesaikan atau diputihkan supaya tidak ada lagi tanah-tanah yang belum dipohon atau tanah-tanah yang berstatus PT.
 
Sementara itu, beliau yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 melengkapkan balai raya Tangkarason yang akan diubah suai sebagai klinik kesihatan sementara di kawasan itu.

“Penggunaan balai raya berkenaan sebagai klinik hanyalah bersifat sementara sahaja sehingga pembinaan klinik baharu siap.

“Setakat ini, tanah klinik Tangkarason tidak ada masalah, sudah pun dipohon oleh KKM melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan sedikit masa lagi, pihak Jabatan Tanah dan Ukur Sabah akan mengeluarkan surat setuju untuk duduk tapak untuk pembinaan klinik itu,” katanya.

Beliau juga difahamkan bangunan klinik kesihatan baharu akan dibina untuk menggantikan klinik yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini.
 
Menurutnya, projek baharu itu akan menelan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1.3 juta, termasuk pembinaan kuarters di tapak asal.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment