Home » STAR Sabah intai kerusi DUN Tungku
Berita Tempatan Politik

STAR Sabah intai kerusi DUN Tungku

Presiden Parti STAR Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan di Majlis Pelancaran‘Siri Jelajah Presiden STAR Sabah bagi Zon Lahad Datu/Tawau di Tungku, semalam.

LAHAD DATU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) intai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. 

Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, sokongan kepada parti STAR dilihat semakin meningkat dan ia adalah sesuatu yang membanggakan.

Katanya, sejak dulu parti ini memang mendapat sokongan namun STAR memberi penghormatan kepada parti-parti lain.

“Kali ini mereka betul-betul minta saya datang dan setelah melihat peningkatan dan sokongan terhadap parti sangat menggalakkan.

“Saya harap ini akan berterusan kerana kita bukan main politik semata-mata tetapi berjuang untuk membela rakyat dan membawa pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada ‘Siri Jelajah Presiden STAR Sabah bagi Zon Lahad Datu/Tawau di Tungku, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Jeffrey mengucapkan tahniah kepada Ketua Bahagian STAR Tungku, Suling Isib atas kejayaan penganjuran siri jelajah itu.

Beliau berkata, jelajah yang bertujuan memberi pencerahan mengenai perjuangan untuk negeri Sabah ini akan diteruskan ke kawasan-kawasan lain.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah melihat kawasan Tungku yang mempunyai tanah yang luas dan subur ini boleh menyumbang peningkatan pengeluaran makanan Sabah.

“Tanah di kawasan ini boleh dibuka untuk pertanian dan penternakan kerana kita masih kekurangan sektor makanan kerana masih mengimport beras dan daging.

“Justeru, kita perlu mengeluarkan lebih banyak makanan bukan sahaja padi tetapi buah-buahan serta makanan lain seperti daging ternakan, ayam dan sebagainya,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment