Home » Penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan pilih Kota Kinabalu sebagai lokasi percutian
Berita Dalam Negara Hiburan

Penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan pilih Kota Kinabalu sebagai lokasi percutian

Jawapan Eun-woo mengejutkan ramai peminatnya kerana tidak menyangka pelakon drama True Beauty itu memilih Kota Kinabalu sebagai lokasi percutian.

SHAH ALAM:Ketika ramai memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi percutian di Malaysia, lain pula yang menjadi pilihan penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan Cha Eun-woo  apabila dia menyatakan hasrat untuk bercuti ke Kota Kinabalu, Sabah bersama peminatnya.

Jawapan tersebut mengejutkan ramai peminatnya yang menggelarkan diri mereka Aroha kerana tidak menyangka pelakon drama True Beauty itu memilih Kota Kinabalu sebagai lokasi percutian.

“Saya sangat mahu melawat Kota Kinabalu.

“Adakah tempat itu cantik? Anda mahu pergi bersama saya?. Jom pergi KK (Kota Kinabalu) dengan saya,” katanya.

Respons tersebut diberikannya apabila diminta memilih lokasi di Malaysia sekiranya berpeluang untuk bercuti bersama Aroha.

Selain mengajak ke Kota Kinabalu, memanggil peminatnya dengan perkataan sayang sudah cukup membuatkan 4,000 yang hadir ke konsert Just One 10 Minute Mystery Elevator di Stadium Malawati Shah Alam, pada malam Sabtu di sini bermimpi indah.

Menerusi konsert anjuran perkhidmatan penstriman, Viu itu, Eun-woo mendekati peminatnya seiring dengan misi acara tersebut iaitu cuba membuatkan penonton jatuh cinta kepadanya dalam tempoh 10 minit.

Pada konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, Eun-woo turut menghiburkan peminat menerusi lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Backstreet Boys, As Long As you Love Me dan lagu daripada album solo pertamanya, Entity seperti Stay dan Where Am I.

— TAMAT