Home » Dilema rakyat Sabah
Politik Sudut Pandangan

Dilema rakyat Sabah

Rakyat Sabah perlu menentukan hala tuju sendiri menerusi parti lokal sebagai platform dalam politik nasional dan penentuan itu dapat direalisasikan pada PRN17. (Sekadar gambar hiasan)

TIDAK boleh dinafikan sesetengah rakyat Sabah berada dipersimpangan memilih parti politik memandangkan kedudukan pemimpin politik negeri terbahagi antara parti tempatan dan nasional. Sebahagian rakyat berhadapan seperti maksud peribahasa ditelan mati emak diluah mati bapa.

Salah satu keadaan yang menggambarkan bagaimana dilemanya rakyat ada lah pada PRU14 di DUN Tambunan apabila dua beradik bertembung mewakili parti yang berbeza; selain itu pada PRN16 apabila berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan PBS di DUN Lumadan, di DUN Pintasan antara Perikatan Nasional (PN) dan USNO.

Pada kawasan-kawasan yang disebutkan tergambar dengan jelas bahawa pengundi berada di persimpangan, samada parti tempatan atau nasional.

Juga tidak dinafikan rakyat di sesetengah kawasan telah bertekad memilih samada parti lokal atau nasional. Selain itu terdapat juga rakyat yang memilih kombinasi kedua-duanya.

Dilemanya rakyat Sabah cuba dirungkai menerusi PRN17 Sabah tahun depan. Pun demikian perungkaian itu mungkin tidak tercapai sepenuhnya, berdasarkan senario politik negeri yang masih bercelaru.

Sabah mungkin dapat mengikuti langkah Sarawak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang jelas telah berlaku garis pemisah antara parti politik.

Parti yang boleh merungkai dilema rakyat adalah Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika membuat keputusan bertanding 73 kawasan DUN pada PRN itu. Bertanding 73 kawasan adalah satu isyarat jelas kepada rakyat Sabah untuk memilih parti tempatan 100% atau kombinasi parti-parti.

Mengukur sokongan rakyat tidak boleh meletakan kaki pada parti yang berlainan, sebaliknya pada parti yang sama, agar diperjelas arah sokongan rakyat sepenuhnya.

Apakah kepimpinan GRS mempunyai keberanian merungkai hala tuju rakyat sepenuhnya menerusi gerakan SOLO? Ataukah kekal dengan status quo yang sekian lama bertapak di Sabah?

Jika benar, bahawa GRS ingin membawa rakyat Sabah diwakili parti tempatan dalam arena politik tanah air, maka PRN17 adalah waktunya.

Sekian lama rakyat Sabah diwakili parti nasional tidak juga merasai apa yang perlu dirasai. Jika rakyat tidak membuat keputusan drastik untuk mengubah nasib, maka selamanya akan menerima nasib yang sama.

Sungguh memilukan, telah 60 tahun Sabah merdeka bersama Persekutuan Malaysia kemudahan asas pun belum sempurna, sedangkan sebahagian besar masa diwakili parti nasional, parti yang memerintah negara berdekad-dekad.

Rakyat Sabah perlu menentukan hala tuju sendiri menerusi parti lokal sebagai platform dalam politik nasional dan penentuan itu dapat direalisasikan pada PRN17. Fikir-Fikirkan.



*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment