Home » Tidak Susah Memilih Pemimpin
Politik Sudut Pandangan

Tidak Susah Memilih Pemimpin

Jasanya (Muhyiddin) dalam menjayakan Program Imunisasi yang menyelamatkan jutaan nyawa manusia tidak mungkin dapat dilupakan.

DI hadapan kita ada beberapa wajah, yang kesemuanya kita kenal. Sama ada kita betul-betul kenal, atau pun kita kenal sebab dia orang terkenal.

Jadi, kita mempunyai undi untuk menentukan siapakah antara mereka itu, yang patut kita pilih untuk menjadi pemimpin.

Katakanlah kita tidak kenal siapa YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Kita boleh ‘search’ sendiri. Kita boleh tahu, tahun berapa beliau jadi MB Johor.

Kita boleh tahu, beliau pernah jadi Menteri Pelajaran. Kita boleh tahu beliau pernah jadi Menteri Pertanian hingga berubah nama Kementerian Pertanian kepada Kementerian Pertanian dan Industeri Asas Tani.

Bank Pertanian bertukar menjadi Agro Bank. Itu semua ketika beliau di situ. Di kementerian itu.

Ketika beliau di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, beliau memperkenalkan kawalan harga barang di musim perayaan dan penguatkuasaan terhadap CD cetak rompak yang menyebabkan industri tersebut berjaya dihentikan.

Ketika beliau di Kementerian Pendidikan, beliau memperkenalkan PPPM 2013-2025 yang sedang dilaksanakan sekarang.

Bila beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 8, beliau dirindui hingga kini kerana kepekaannya terhadap kesusahan rakyat ekoran Pandemik Covid-19.

Jasanya dalam menjayakan Program Imunisasi yang menyelamatkan jutaan nyawa manusia tidak mungkin dapat dilupakan.

Ketegasannya tidak berkompromi dengan kes mahkamah yang melibat orang-orang ternama, menyebabkan beliau akhirnya dijatuhkan dengan “kuasa kluster mahkamah” yang memegang prinsip “cash is king”.

Kita tengok pula calon lain, DS Anwar Ibrahim. Beliau juga pernah jadi Menteri Pertanian, Menteri Pelajaran, Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Kewangan.

Kita tahu setakat mana kemampuannya hingga mencetuskan suasana tidak tenteram ekoran keinginannya meminjam dari IMF dahulu.

Kita tengok pula Ismail Sabri Yaakob. Ketika menjadi PM, beliau mudah lupa. Yang beliau ingat, mesyuarat MT Umno.

Berjanji dengan bekas PM sebelumnya, dia terlupa. Nak lantik TPM pun dia tidak berani sebab dia hendak berucap dalam Bahasa Melayu di PBB.

Macam mana nanti kalau TPM berucap dalam BI tapi PM berucap dalam BM. Tak manislah.

Kalau DS Zahid Hamidi pula, pengundi tentulah tidak akan menolak beliau tetapi disebabkan beliau ada kes mahkamah, susah sikit hendak memilih partinya dalam PRU-15, sebab, kalau menang nanti, mereka sibuk nak buang AG dan tukar hakim.

Mereka sibuk nak cari “AG orang kita”.

Manakala Tun Dr Mahathir pula, walaupun dia seorang yang hebat, tetapi itu dulu.

Tiada sesiapa boleh menafikan kehebatannya, tetapi dulu.

Kalau sekarang, zaman ini pengundi masih mahu memilihnya, bermakna, kita sebagai pemilih telah gagal menggunakan kuasa “memilih” yang kita ada, dengan memilih “yang dulu” untuk digunakan sekarang.

Buat sholat Istikharah. Minta pertunjuk dari Allah. Cuma, saya nak turunkan pandangan saya di sini, elakkan memilih parti yang sudah tercemar dengan rasuah dan kleptokrat.

Tolak parti yang pemimpinnya kalau bercakap, bohong. Pindah-pindah kawasan bertanding sebab, tidak mahu memikul tanggungjawab kehendak pengundi.

Tolak juga parti yang “tiada perjuangan” kecuali untuk diri sendiri dan anak sendiri.

Itu pandangan saya. Jadi, parti yang “prihatin rakyat dan berintegriti” sepatutnya dekat dengan kita.

Jiwa anak-anak muda, perlu dibiasakan dengan pejuangan ini, pejuangan “prihatin rakyat dan berintegriti” kerana ini semua untuk kalian sendiri.

Bagi yang sudah biasa memilih, mereka sudah kenal yang mana kaca dan yang mana permata.

Yang pertama kali memilih, kena kukuhkan iltizam untuk memilih seorang pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat, berpandangan jauh dan kukuh berintergriti.

*Daud Ibrahim merupakan Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Selayang dan penulis politik tanah air. Penulisan ini adalah pandangan beliau dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabah Baru News