Home » UAMS platform perbincangan pengurusan aset minyak dan gas negara
Berita Tempatan Politik

UAMS platform perbincangan pengurusan aset minyak dan gas negara

KENANGAN: Masidi merakamkan gambar kenangan bersama pemimpin serta pemain industri minyak dan gas pada majlis makan malam UAMS.

KOTA KINABALU: Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), PETRONAS, dengan kerjasama Persatuan Jurutera Petroleum Seksyen Kuala Lumpur, melancarkan Sidang Kemuncak Pengurusan Aset Huluan (UAMS) 2024 selama tiga hari.

Persidangan terbabit sebagai platform untuk peneraju industri, pakar serta penyedia perkhidmatan bertukar pengetahuan, pengalaman dalam pengurusan aset minyak dan gas.

UAMS yang diadakan sehingga 6 Mac juga menyediakan program komprehensif termasuk 52 pembentangan teknikal dan sesi panel yang merangkumi topik kemampanan sumber dan kebolehpercayaan aset serta perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas selain kaedah yang boleh menyokong industri terbabit.

Sempena sidang kemuncak ini, turut diadakan Majlis makan malam yang dihadiri Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun bersama pegawai kanan kerajaan serta pemimpin pemain industri minyak dan gas.

Masidi berkata, penghargaan disampaikan kepada MPM kerana memilih Sabah sebagai lokasi penganjuran UAMS yang menekankan kepentingan Sabah dalam landskap tenaga di rantau ini. 

BERTEMU: Masidi Manjun (kiri) dan Bacho semasa majlis makan malam UAMS.

“Usaha ini membuktikan komitmen ke arah pembangunan mampan dan peningkatan kemahiran bakat yang ada di Sabah, saya yakin sidang kemuncak ini akan memupuk dialog dan kerjasama yang boleh memanfaatkan industri ini dengan lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan MPM PETRONAS, Datuk Bacho Pilong berkata, sidang kemuncak ini mendapat sambutan memberangsangkan dan menghimpunkan pemegang kepentingan utama serta pemain industri dalam menangani cabaran dan merebut peluang bagi sektor huluan minyak dan gas.

“Perhimpunan ini mengukuhkan komitmen PETRONAS dalam memacu pengurusan mampan bagi sumber petroleum negara melalui penyelesaian inovatif dan usaha kolaboratif bersama kerajaan negeri dan pemegang taruh dalam industri,” katanya.

Seiring usaha ini, Bacho bersama Ketua Pegawai Kelestarian PETRONAS, Charlotte Wolff-Bye turut mengadakan perbincangan eksekutif pada hari sama bersama kontraktor pengurusan petroleum di Malaysia.

Katanya, perbincangan menumpukan keperluan untuk mengurangkan pelepasan metana, selain memupuk kerjasama dan perkongsian dalam menyokong visi pelepasan metana sehingga ke tahap hampir sifar.

Pada persidangan itu, peserta juga berkongsi maklumat berkenaan kerjasama sedia ada dan meneroka pendekatan praktikal dalam mengurangkan pelepasan dalam rantaian nilai minyak dan gas Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 2015, UAMS yang sebelum ini dikenali sebagai Reservoir Management and Surveillance Summit (RMSS) memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan pengeluaran minyak dan gas dengan memupuk pertukaran pandangan dan strategi.

Sidang kemuncak edisi 2022 menarik penyertaan lebih 200 pemimpin industri dan pakar manalala tahun ini, program merekodkan lebih banyak penyertaan sehingga lebih 300 peserta.

MPM bertanggungjawab dalam menguruskan perihal petroleum di Malaysia dan menyediakan pengawasan terhadap aktiviti petroleum huluan. Sebarang maklumat lanjut boleh melayari peluang pelaburan dalam sektor huluan Malaysia di https://www.petronas.com/mpm/.

Vivi Olviana Najurus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment