Home » Balai Cerap Al-Biruni Putatan jadi destinasi pelancongan: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Balai Cerap Al-Biruni Putatan jadi destinasi pelancongan: Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ini sesuai dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memandangkan balai cerap itu merupakan salah satu mercu tanda Islam dan perkembangan ilmu falak di negeri ini.

PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil Putatan, antara 29 lokasi rasmi tempat melihat anak bulan seluruh Malaysia akan dibuka sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ini sesuai dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memandangkan balai cerap itu merupakan salah satu mercu tanda Islam dan perkembangan ilmu falak di negeri ini.

Selain itu katanya, Balai Cerap Al-Biruni juga akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin bagi penyelidikan dan pendidikan berkaitan dengan ilmu Falak dan Astronomi.

Menurutnya, Kerajaan sangat komited dalam pelaksanaan Majlis Rukyah Hilal Rasmi (Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah) demi maslahah umat Islam di negeri khususnya dan seluruh negara khasnya.

“Majlis Rukyah Hilal Rasmi (Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah) dan Majlis Rukyah Hilal Ramadhan Tahun 1445H /2024 merupakan majlis rasmi bagi Kerajaan Negeri Sabah setiap tahun.”

“Ia merupakan majlis terpenting dalam soal ibadah umat Islam iaitu bagi menetapkan bermulanya umat Islam berpuasa, menyambut Aidilfitri dan Aidiladha”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rukyah Hilal Rasmi (Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah) dan Majlis Rukyah Hilal Ramadhan Tahun 1445H / 2024 bagi negeri Sabah di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tanjung Dumpil pada Ahad.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya.

Katanya, Rukyatul Hilal adalah suatu tuntutan, dan di Malaysia kaedah rukyah (melihat) dan hisab (kiraan) adalah kaedah yang digunakan bagi menetapkan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.

“Dari segi perlaksanaannya pula, kaedah Rukyah dan Hisab dengan Kriteria Imkanur – Rukyah saling memenuhi keperluan di antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan.”.

“Kaedah Rukyah ini tidak boleh dipraktikkan dengan sebaik-baiknya jika pengetahuan ciri-ciri anak bulan tidak diketahui dan Rukyah tanpa persediaan teknikal adalah sia-sia dan boleh menimbulkan kekeliruan. Kerja-kerja yang berkaitan Rukyah Hilal adalah kerja mulia kerana ianya mempunyai nilai ibadah”, tegasnya.

–Tamat

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment