Home » PBS mahu cadangan tiga TPM jadi agenda pertama MKMA63 selepas PRU15
Berita Tempatan Politik

PBS mahu cadangan tiga TPM jadi agenda pertama MKMA63 selepas PRU15

Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berfoto bersama penyokongnya di Program Jelajah GRS Parlimen P168 Kota Marudu baru-baru ini. Beliau menyambut baik cadangan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) dibahagikan kepada pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

KOTA MARUDU: Biarpun disifatkan sudah lama tertangguh, namun Parti Bersatu Sabah (PBS) tetap menyambut baik cadangan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) dibahagikan kepada pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, perkara berkaitan pelantikan TPM dari Sabah dan Sarawak sebelum ini dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

Katanya, tindakan itu berdasarkan kepada permintaan awam khususnya rakyat Sabah dan Sarawak agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan berkenaan.

“Malah, Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu sedang melihat perkara mengenai status sama rata Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.

“Sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PBS menyokong sepenuhnya cadangan ini biarpun ia sudah lama tertangguh dan sebarang pengisian terhadap perkara itu akan selaras dengan peruntukan Perlembagaan untuk memberikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” jelasnya di sini semalam.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selesai, PBS akan mencadangkan isu ini sebagai agenda pertama dalam mesyuarat MKMA63 supaya meluluskan cadangan tiga TPM di Malaysia.

Menurutnya, ia akan mewakili Malaysia baharu dan boleh menjadi lonjakan besar bagi Persekutuan Malaysia.

“Saya yakin ia akan dipersetujui sebulat suara oleh MKMA63,” katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu.

Cadangan tiga TPM ini dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa program Gelombang Biru BN Zon 3 Sabah di Kimanis baru-baru ini.

Beliau dipetik berkata, tidak mustahil negara ini mempunyai tiga TPM. Justeru, BN Sabah harus mencadangkan perkara itu kepada Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dimasukkan dalam manifesto gabungan PRU15.

Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment