FOKUS tentunya dihalakan ke Parlimen Tambun, ekoran pengisytiharan Anwar Ibrahim (Bang Non) mahu bertanding di situ, sementara Ahmad Faizal Dato’ Azumu (Peja Azumu) sudah mengaku akan mempertahankan kerusi tersebut.
Bang Non sudah memberikan kata selamat tinggal Port Dickson, setelah para penyokongnya yang bersusah payah mengutip sampah di Pantai PD, sementara menunggu Bang Non angkat sumpah menjadi PM.
Sekarang ini, tentulah pengundi Tambun pula, akan bekerja keras mahu wakil rakyatnya menjadi PM, jika Bang Non dan PH menang, tetapi sebahagian besarnya yakin mereka akan ‘dibohongi’ seperti mana pengundi Pematang Pauh dan PD, ‘basah dikencing’ dek janji-janji seperti itu.
Mungkin Bang Non mendapat ‘isyarat’ dari Umno/BN untuk mereka memberi undi kepada PH, bagi memenangkan Bang Non, kerana Umno/BN Perak memang mempunyai sejarah “menjatuhkan” Peja Azumu dari kerusi MB, beberapa tahun yang lalu.
Namun demikian, penyokong kuat Bang Non yang pernah menjadi Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sudah ke Selangor, seolah-olah tidak sabar untuk menunggu Bang Non datang bertanding di Negeri Maharajalela ini.
Perkiraan atas kertas, Bang Non dengan undi PKR yang setia, DAP dan Amanah tentunya memperolehi kelebihan, dengan sokongan Umno/BN.
Kebetulan Presiden Umno, merupakan anak Perak yang mengaku anak murid kepada Bang Non, pastinya “tidak akan merestui” mana-mana calon BN turut bersaing di kerusi Tambun.
Andaikata ia terjadi, Bang Non akan berdepan dengan Peja Azumu sahaja, kerana jika benar Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengadakan perundingan dan kerjasama dengan PH, sudah pasti GTA di bawah pimpinan Tun M juga tidak meletakan calon di Tambun.
Dalam PRU-14, Peja Azumu menang kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 mengalahkan calon BN, Ahmad Husni Hanadzlah.
Peja Azumu mendapat 38,661 undi, manakalah BN mengutip 33,341 undi dan calon PAS, Ustaz Ibrahim Zakaria mendapat 14,948 undi.
Peja Azumu membawa slogan “anak tempatan akan terus berkhidmat di sini”, manakala Bang Non membawa slogan “jika saya menang dan PH menang, saya akan menjadi PM yang tidak ambil gaji”.
Orang Tambun, orang bijak. Mereka boleh dengar kata-kata Bang Non itu, tetapi percaya jangan sesekali.
Maklumlah, dari cerita-cerita lucu di luar negara, kalau ada pertandingan cerita bohong terbaik, perserta-peserta yang ada latar belakang politik tidak akan dibenarkan menyertai pertandingan itu.
Orang politik pembohong besar, kata juri yang menghakimi pertandingan cerita bohong terbaik.
Jika Bang Non menang, ia bukan cerita besar tetapi jika Peja Azumu menang, beliau akan menjadi ‘giant killer’ dalam PRU-15 akan datang.
DAP paling teruja dengan hasrat Bang Non bertanding di Tambun. Selain Pulau Pinang, Perak merupakan kubu kuat DAP.
Malahan, pemimpin DAP sudah mengumumkan, kali ini PM akan datang dari Perak. Mereka tidak bermaksud dari Umno, tetapi dari PH (PKR).
Insyaallah, hasrat mereka itu tidak tertunai dengan doa-doa mereka yang masih ada rasa kasih dan sayang kepada bangsa Melayu dan agama Islam.
Bangsa ini tidak akan sama sekali sanggup melihat agama mereka diinjak dan dihina, sebagaimana waktu mereka itu berkuasa sedikit waktu dahulu.
Perak Negeri Chin Ping, tetapi Perak juga adalah negeri di mana lahirnya Si Putum, Pandak Endut, Kulup Ali, Ngah Jabar dan Setuah.
Bukan sahaja JWW Birch dibunuh mereka , kerani Residen British ini, Mat Arsad turut terbunuh.
Cuma, Peja Azumu dan seluruh jentera parti Perikatan Nasional (PN), iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan perlukan bekerja kuat untuk berdepan dengan PH dan BN kali ini.
Sudah berusaha, bertawakallah. Tiada yang mustahil dengan kehendak Allah.
Add Comment