Home » Belum ada perbincangan rasmi antara PN, GTA
Berita Dalam Negara Politik

Belum ada perbincangan rasmi antara PN, GTA

Mengulas permohonan penubuhan GTA yang dikatakan tidak diluluskan, Hamzah berkata, beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN belum mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Secara rasmi belum ada, tetapi antara wakil mungkin ada, risik merisik itu biasa dalam politik buat masa ini.

“Pihak atasan belum buat keputusan sama ada perbincangan ini boleh dijalankan secara rasmi,” katanya selepas Majlis Sambutan Jubli Emas Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-50 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perbincangan antara PN dan GTA bagi menghadapi PRU15.

Sabtu lalu, Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan gabungan parti politik tertentu untuk melihat sama ada kerjasama boleh dilaksanakan ataupun tidak.

Mukhriz dilaporkan berkata, pihaknya terbuka untuk bergabung sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan (PH).

GTA merangkumi PEJUANG, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sementara itu, mengulas permohonan penubuhan GTA yang dikatakan tidak diluluskan, Hamzah berkata, beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

-Berita Bersatu

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment