Home » Pengalaman pulang kampung sempena Hari Raya 2024
Politik Sudut Pandangan

Pengalaman pulang kampung sempena Hari Raya 2024

Penulis menzahirkan pengalaman balik kampung untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024. (Gambar Hiasan)

SATU tindakan yang tidak dirancang, selepas setahun, penulis melalui jalan yang sama yang biasa dilalui apabila pulang kampung.

Tidak seperti kawasan lain mungkin ada jalan jalan alternatif, penulis tiada peluang itu dan hanya melalui jalan yang sama.

Mudik kali ini agak berbeza sedikit, atas sebab masa yang diperlukan bertambah 3 jam kerana kesesakan. Kesesakan kerana adanya projek pembangunan jalan dan kerananya ada beberapa lencongan sempit menyebabkan pemanduan diperlahankan.

Mungkin kesan pembinaan lebuh raya Pan Borneo jalan yang tersedia dibiarkan bertukar pada jalan gravel, bertambah lagi getaran kereta berabsorber tidak “tip top”.

40 tahun lalu semasa jalan yang sama masih gravel, kereta dilengkapkan dengan “absorber” yang tiptop sebab itu kereta boleh dipandu laju agar getaran tidak sangat terasa.

Penulis tersedar mereka yang suka sangat viral berbagai jalan berlubang atau gravel, adalah merujuk pada jalan lama, akan tetapi tidak menyebut sebab-sebab mengapa jalan tersebut bertukar demikian.

Bagi pendapat penulis, kerajaan tidak mahu menanggung kos dua kali, menyelenggara jalan lama, dan pada masa sama lebuh raya sedang dalam proses penyiapan.

Menyelenggara jalan raya yang mana reka bentuknya sudah luput masa, tidak berbaloi lagi, atas sebab jalan-jalan itu dilalui oleh lori-lori berat yang menyiapkan lebuh raya, maknanya diselenggara pada pagi hari, petang bertukar bergelombang atau rosak semula.

Kepada rakyat yang mungkin terbaca atau melihat gambar-gambar jalan-jalan yang mereka namakan “jalan seperti di bulan” kena diselidiki terlebih dahulu, apa kah jalan-jalan tersebut seperti mana penulis maksudkan.

Mereka yang memviralkan jalan-jalan berlubang dan rosak tidak terhad pada rakyat biasa akan tetapi juga pemimpin politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Memang teringat sangat keadaan jalan yang biasa penulis lalui 40 tahun lalu, bezanya pemanduan tidak konsiten kerana permukaan jalan yang tidak sama, ada gravel ada tebingan aspal yang boleh menyebabkan kereta melambung atau rim kereta bengkok atau tayar pecah.

Jika ada pemimpin politik mendakwa keadaan jalan tidak sama pada masa sekarang berbanding 4-5 tahun lalu, memang betul, bezanya pemimpin itu tidak berkata benar,mengapa jalan itu berkeadaan demikian.

Makna kata, penulis akan melalui lebuh raya pada mudik yang akan datang jika dipertemukan sekali lagi dengan 1 Syawal.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .