Home » Hajiji arah jentera parti teliti pengundi kawasan masing-masing
Berita Tempatan Politik

Hajiji arah jentera parti teliti pengundi kawasan masing-masing

“Kita masih meneliti pengundi-pengundi yang meragukan ini, kita pun telah mengarahkan jentera parti masing-masing di kawasan untuk meneliti dan melihat pengundi-pengundi sama ada ianya datang dari kawasan tersebut ataupun dari mana-mana kawasan lain." - Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan jentera parti masing-masing di kawasan-kawasan pusat mengundi bagi meneliti dan melihat pengundi-pengundi sama ada ia datang dari kawasan tersebut atau tidak.

Ini adalah susulan daripada jumlah pengundi baharu yang melonjak secara mendadak didedahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sabah baru-baru ini.

Hajiji berkata, pihaknya masih meneliti jumlah pengundi-pengundi baharu yang meragukan itu.

“Kita masih meneliti pengundi-pengundi yang meragukan ini, kita pun telah mengarahkan jentera parti masing-masing di kawasan untuk meneliti dan melihat pengundi-pengundi sama ada ianya datang dari kawasan tersebut ataupun dari mana-mana kawasan lain.

“Penelitian akan dibuat oleh jentera parti di daerah masing-masing kerana mereka saja tahu, mereka yang tinggal di sana berpuluh-puluh tahun siapa pengundi di sana di kawasan mereka,’ katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-pelancaran Minyak Masak “Sayang” keluaran Sawit Kinabalu di Anjung Selera, Teluk Likas pada Rabu.

NORMIMIE DIUN