Home » Fairuz dilantik pembantu menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan
Berita Tempatan Politik

Fairuz dilantik pembantu menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan

Datuk Fairuz Renddan
Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sebagai Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri, Datuk Fairuz Renddan sebagai pembantu menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan.

Berikutan pelantikan itu, jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri yang dikosongkan oleh Fairuz akan diisi oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal.

 ADUN Kukusan, Rina Jainal

Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sebagai Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Majlis angkat sumpah Fairuz (Datuk) akan ditetapkan oleh pihak Istana negeri,” katanya ketika mengumumkan rombakan kecil itu menerusi satu kenyataannya di sini pada Rabu.

Ketua Menteri turut mengumumkan pertukaran dua pembantu menteri membabitkan Kementerian Kewangan negeri dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Pertukaran dua pembantu menteri itu dilakukan berikutan pengosongan portfolio bagi jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri selepas penyandangnya, Datuk Wetrom Bahanda yang bertindak tingalkan kerajaan pada pertengahan Oktober lalu.

Berikutan pengosongan itu, tempat Wetrom akan digantikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan manakala jawatan Nizam akan diisi oleh Datuk Julita Majungki, yang sebelum ini adalah Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment