Home » Parti GRS jawapan “Jinx” parti lokal
Politik Sudut Pandangan

Parti GRS jawapan “Jinx” parti lokal

Menghakisnya sokongan terhadap parti UMNO bukan kerana parti itu parti nasional atau parti Malaya, akan tetapi rakyat mendapati parti itu tidak komited merealisasikan aspirasi dan harapan rakyat Sabah secara tuntas. (Gambar hiasan)


SALAH satu keputusan Parti UMNO masuk Sabah pada tahun 1990 atas sebab tiada parti lokal yang dipimpin bumiputera islam bertahan menerajui kerajaan negeri, melainkan terhad pada dua penggal.

Kemasukan parti itu pada masa itu untuk menjamin kestabilan politik dan parti yang menerajui kerajaan negeri kekal dalam jangka masa panjang, seperti mana pencapaian parti itu di Semenanjung dan negara.

Malangnya, 28 tahun kemudian, anggapan bahawa parti itu akan kekal sebagai tunjang kerajaan berakhir apabila hilang kuasa menerusi keputusan PRU-14 pada tahun 2018.

Pada tahun itu juga Umno yang bekerjasama dengan 13 parti lain menerusi Parti Barisan Nasional (BN) mengecil, apabila 9 parti komponen keluar untuk menubuhkan platform baharu. Di Sarawak menubuhkan Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS), di Sabah ditubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengecilnya parti-parti dalam BN, mengecil juga jumlah kerusi yang disandang parti itu, dan seterusnya kehilangan peluang menjadi parti peneraju kerajaan.

Kini UMNO hanya bergantung pada parti lain, baik di Semenanjung mahupun Sabah, malah di Sabah menjadi pembangkang bermula 6 Januari 2023.

Matlamat parti itu memayungi bumiputera islam di Sabah terhakis secara perlahan-lahan, apabila sebahagian besar kawasan bumiputera islam menolaknya, malah sebahagian pemimpin utama parti itu ditolak rakyat di kawasan masing-masing, termasuk pemimpin yang berstatus Timbalan Ketua Menteri, Menteri, pembantu menteri, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan.

Dengan penolakan itu, boleh lah disimpulkan, misi parti itu di Sabah menuju pengakhiran. Menimbang senario itu, para pemimpin yang suatu ketika dahulu antara yang menjemput perlu menuruti kehendak rakyat dan menubuhkan platform baharu untuk meneruskan perjuangan dalam arena politik. Menongkah kehendak rakyat adalah sama dengan menggali kubur sendiri.

Menghakisnya sokongan terhadap parti UMNO bukan kerana parti itu parti nasional atau parti Malaya, akan tetapi rakyat mendapati parti itu tidak komited merealisasikan aspirasi dan harapan rakyat Sabah secara tuntas.

Tempoh masa 28 tahun bukan lah masa singkat, dan untuk jangka masa itu, Sabah hanya diberi gelaran “Fixed Deposit BN” sebagai cerminan bahawa rakyat Sabah tiada kemampun berfikir di luar kotak, tiada keupayaan bergerak ke hadapan melainkan “mandek” dan terpaku dengan harapan yang tidak kunjung datang.

Betul para pemimpin parti itu di Sabah mencipta nama sebagai “orang kayangan” orang-orang kenamaan, akan tetapi rakyat secara umum kekal dengan keadaan mereka, termasuklah kemudahan infrastruktur seperti kemudahan asas, pendidikan, kesihatan, tingkat kehidupan yang tidak banyak berubah berbanding negeri-negeri lain.

Perlu kah rakyat Sabah menunggu setengah abad lagi untuk merealisasikan harapan, merealisasikan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)? Sudah tentu tidak, atas sebab itu, apabila UMNO/BN hilang kuasa, maka para pemimpin Sabah dan juga Sarawak tanpa kompromi menuntut hak-hak seperti mana dibutirkan menerusi MA63.

Pada tahun 2019, Sarawak mula menguatkuasa SST pada hasil minyak keluaran Petronas dari bumi negeri itu, dan Sabah ikut sama pada tahun 2021.

Status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi penubuhan Kerajaan Persekutuan Malaysia dikembalikan, bayaran khas kepada dua negeri dikaji semula, dan untuk Sabah dipanggil sebagai bayaran interim sebelum pemuktamadan pengiraan 40 peratus hasil bersih cukai Persekutuan di Sabah, yang tidak pernah dikaji sejak tahun 1970.

Selain itu, Sabah dan Sarawak menolak Akta Laut Wilayah 2012 (ALWA2012). Sekiranya BN/UMNO masih menerajui kerajaan Persekutuan, ada kemungkinan dua negeri itu masih terikat dengan AWLA2012.

Jelas semasa BN/UMNO berkuasa, pemimpin Sabah dan Sarawak terikat seolah-olah para pemimpin dua negeri itu menyerahkan begitu sahaja hak-hak negeri, dan terus diwarisi generasi akan datang, sedangkan hak-hak itu adalah pemudah cara memajukan dan membangun negeri.

Malah di Sabah pemimpin Umno membuat kenyataan, jika Persekutuan menunaikan tuntutan 40 peratus hasil cukai bersih Persekutuan daripada Sabah, negara boleh muflis. Menerusi hujah demikian, adalah cerminan sikap pemimpin parti itu terhadap Sabah dan rakyatnya, dan ianya selari dengan kadar kemajuan dan pembangunan Sabah yang begitu perlahan untuk tempoh hampir 3 dekad.

Kerana sikap pemimpin parti itu, maka rakyat Sabah secara umumnya mencari rumah baharu dan memilih rumah lokal sebagai platform memrealisasikan aspirasi dan harapan dan menuntut hak-hak negeri seperti mana termaktub dalam Perlembagaan dan MA63.

Rakyat Sabah perlu bergerak ke hadapan atas sebab itu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai pendekatan Sabahfirst, Sabahforward, Sabahprosper dan Sabahunited demi Sayangi Sabah, dan seterusnya dapat mengwujudkan kestabilan politik, kemakmuran dan kesejahteraan.

Menerusi misi dan perjuangan GRS, maka ianya menjadi jawapan “jinx” parti lokal yang mana suatu masa lalu hanya bertahan untuk dua penggal sebagai peneraju kerajaan negeri.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .