Home » Penganjuran Pesta Kaamatan peringkat mukim juga penting:Ellron
Berita Tempatan Politik

Penganjuran Pesta Kaamatan peringkat mukim juga penting:Ellron

ELLRON (kiri) menuai padi bersama pemimpin yang lain sebagai simbolik perasmian.

KENINGAU: Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Sook tahun ini akan bermula di peringkat mukim sebelum kemuncaknya pada 19 Mei ini di Dewan Masyarakat Sook, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sook Datuk Ellron Angin berkata, penganjuran pesta Kaamatan peringkat mukim amat penting bagi membolehkan masyarakat di setiap mukim merasai suasana sambutannya.

“Pesta Kaamatan peringkat daerah kecil Sook tahun ini ada kelainan sedikit, dengan sambutannya dimulakan di peringkat mukim dahulu sebelum peringkat daerah sebagai penutup tirai,” katanya pada perasmian sambutan Pesta Kaamatan Mukim Tiulon pada Selasa.Kira-kira 1,000 penduduk di sekitar mukim itu menghadiri sambutan itu.

Di samping itu, katanya, perayaan yang diadakan di peringkat mukim juga akan menyuburkan lagi semangat Kaamatan dalam kalangan generasi muda Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) menerusi penglibatan mereka dalam pertandingan yang dianjurkan seperti Sugandoi, Unduk Ngadau dan -sukan tradisi seperti tarik tali, gusti lengan dan melastik.

Melihat kepada kemeriahan dengan kehadiran warga kampung yang ramai, beliau mengharapkan agar pesta kaamatan peringkat mukim diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Dalam perkembangan lain, mengenai naikan taraf Sook kepada Daerah Penuh, Ellron yang juga Menteri Belia Dan Sukan berharap warga Sook dapat bersama-sama dengannya untuk menjayakan perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan nanti.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Tony Talasoi, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

— Marutin Ansiung

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment