Home » Mahkamah Rayuan tetapkan 18 Jun untuk semakan keputusan rayuan
Berita Tempatan Politik

Mahkamah Rayuan tetapkan 18 Jun untuk semakan keputusan rayuan

Nor Asiah turut memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa Pejabat Peguam Besar Negeri komited sepenuh dalam menuntut hak perlembagaan negeri ini.

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 18 Jun untuk keputusan rayuan terhadap kebenaran yang diberikan dalam semakan kehakiman berhubung Hak Pemberian Khas 40 peratus hasil untuk Sabah.

Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh itu semasa mengadakan pengurusan kes berlangsung secara dalam talian yang turut dihadiri Peguam Besar Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof mewakili Kerajaan Negeri bersama dengan Datuk Brenndon Keith Soh, Penasihat Undang-Undang Khas kepada Ketua Menteri, Devina Teo dan Roland Alik, Peguam Negeri Kerajaan Negeri.

Nor Asiah berkata, Mahkamah Rayuan telah dimaklumkan bahawa Messrs F.T Ahmad & Co tidak lagi bertindak untuk kerajaan negeri dan Pejabat Peguam Besar Negeri telah mengambil alih sepenuhnya pengendalian serta penjagaan perkara ini.

Katanya, setelah meneliti dan mengkaji perkara itu dan prosiding yang telah berlaku, Mahkamah Rayuan telah dimaklumkan mengenai kedudukan-kedudukan seperti berikut, oleh kerana kerajaan negeri tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 11 November 2022, kerajaan negeri menerima keputusan itu iaitu, bahawa kebenaran diberikan untuk perkara ini dibicarakan berdasarkan merit semasa pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman.

“Selain itu, kerajaan negeri menarik balik semua penghujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan mengenai isu ‘locus standi’ Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) kerana ini tidak dikemukakan atau dihujahkan di Mahkamah Tinggi oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri menarik balik penghujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan yang merujuk kepada Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘aspirasi’ dan bukan hak mandatori atau mutlak negeri Sabah.

“Mahkamah Rayuan telah merekodkan kedudukan-kedudukan ini dan telah menetapkan keputusan perkara ini pada 18 Jun 2024,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa Pejabat Peguam Besar Negeri komited sepenuh dalam menuntut hak perlembagaan negeri ini.

“Saya memberi jaminan kepada seluruh rakyat bahawa Pejabat Peguam Besar Negeri komited sepenuhnya dan akan terus kekal teguh untuk rakyat Sabah bagi menegakkan hak perlembagaan Sabah seperti yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment