Home » Enam telaga tiub UMS sudah siap sepenuhnya – KPT
Berita Tempatan Politik

Enam telaga tiub UMS sudah siap sepenuhnya – KPT

Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud, berkata walaupun berlaku sedikit kelewatan daripada tarikh asal, projek berkenaan kini beroperasi untuk menyalurkan bekalan air bagi kegunaan pelajar di kolej kediaman.

KOTA KINABALU: Enam telaga tiub yang dibina sebagai alternatif bagi mengurangkan gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah siap.

Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud, berkata walaupun berlaku sedikit kelewatan daripada tarikh asal, projek berkenaan kini beroperasi untuk menyalurkan bekalan air bagi kegunaan pelajar di kolej kediaman.

“Saya ingin maklumkan keenam-enam telaga tiub ini merangkumi pakej satu dan dua sudah siap sepenuhnya.

“Memang ada sedikit kelewatan sebab ada beberapa perkara termasuklah sedikit perubahan daripada aspek rekaan. Itu antara faktor menyebabkan kelewatan berlaku, namun segalanya sudah siap dan beroperasi.

“Menerusi telaga tiub ini, kita menjangka dapat menyalurkan satu juta liter air setiap hari. Saya ingin menegaskan telaga tiub ini hanyalah alternatif, selain kita mengharapkan bekalan air bersih dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Pelajar dan masyarakat perlu tahu membezakan perkara ini. Hal ini kerana telaga tiub ini akan digunakan apabila bekalan air dari JANS tidak mencukupi.

“Semua kolej kediaman sudah dilengkapi tangki penyimpanan air. Apabila kekurangan bekalan air, pelajar boleh terus mendapatkan bekalan air daripada tangki-tangki yang disambungkan dengan telaga tiub ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan terkini projek telaga tiub UMS, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk projek penggalian telaga tiub sebagai langkah alternatif membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di semua kolej kediaman UMS.

Sementara itu, Mustapha meminta pelajar yang merancang menyertai Perhimpunan Kami Mahu Air yang dijangka pada 14 Jun ini membuat pertimbangan sewajarnya, selain mendapatkan fakta sahih.

“Saya hanya mahu bercakap mengenai UMS sahaja. Pelajar sila dapatkan fakta yang benar sebelum buat tindakan.

“Saya sebagai Ahli Parlimen Sepanggar memang sentiasa berinteraksi dengan jabatan air mengenai masalah yang berlaku, malahan sedaya upaya membantu rakyat di kawasan Sepanggar ini mendapat bekalan air bersih, sekiranya terdapat sebarang aduan,” katanya.

—  Yun Mikail