Home » Rosario Bianis sertai Gagasan Rakyat Tambunan
Berita Tempatan Politik

Rosario Bianis sertai Gagasan Rakyat Tambunan

SERAH: Rosario (tiga kanan) menyerahkan borang keahlian kepada Mohd. Yassin sambil disaksikan Amelia (dua kanan) serta pemimpin parti yang lain.

TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekali lagi menjadi platform politik pilihan artis ternama tanah air, Rosario Bianis untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Juara ASEAN Song Contest 2019 itu menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Mohd. Yassin Yunus, mewakili Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan, Datuk Victor P. Paut.

Majlis penyerahan borang keahlian itu yang diadakan di pejabat Gagasan Rakyat Tambunan yang turut dihadiri Ketua Wanita Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Hajah Amelia Anjun.

Rosario berkata, Gagasan Rakyat Tambunan yang diterajui Victor menawarkan ruang dan kedudukan untuk berkongsi aspirasinya dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat khususnya golongan belia.

Juara Bintang RTM 2016 itu menjelaskan, nilai perjuangan dan semangat Victor sebagai pemimpin juga banyak mendorong beliau untuk menyertai parti itu.

“Sebenarnya, saya telah lama mengenali beliau dan pernah dijemput menghadiri majlis keramaian di kediamannya bagi mempersembahkan beberapa buah lagu.

“Kalau saya masih ingat, majlis itu berlangsung kira-kira lapan tahun lalu dan ketika itu beliau belum bergiat diri dalam politik.

“Namun demikian, beliau telah memperlihatkan nilai kepimpinan dan berjiwa besar sering menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat Tambunan tanpa mengira kedudukan serta latar belakang.

“Nilai yang ada dalam diri Victor itu membuatkan saya tidak fikir panjang untuk menyertai Gagasan Rakyat,” kata Juara Sugandoi Negeri Sabah 2014 itu.

Rosario, lahir di Kampung Sunsuron Tambunan itu berkata, keputusannya menyertai Gagasan Rakyat adalah atas kemahuan dirinya sendiri.

Mengulas penyertaan Rosario ke dalam PGRS, Victor berkata, Gagasan Rakyat sentiasa menyokong langkah penggiat seni tanah air menyertai parti itu dan mereka boleh bertindak sebagai duta parti.

Victor turut menghargai Rosario kerana memilih dan menyertai parti itu.

Sebelum ini, artis ternama negeri Sabah, Datuk Francis Landong telah menyertai Gagasan Rakyat Tambunan.

“Pintu Gagasan Rakyat sentiasa terbuka kepada mana-mana golongan profesional yang ingin sama-sama berjuang membela kebajikan bukan sahaja masyarakat Tambunan malah rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment