Home » G57 akan buat laporan polis ke atas Presiden Warisan
Berita Tempatan Politik

G57 akan buat laporan polis ke atas Presiden Warisan

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terus mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang berbaur fitnah ke atas Kerajaan Negeri.

Pada Sambutan Pesta Kaamatan Warisan di Penampang Sabtu lalu, beliau menuduh bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui Sabah Development Bank Berhad (SD Bank) telah kononnya meminjamkan wang berbilion ringgit kepada syarikat yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun bagaimanapun telahpun menamatkan penipuan Shafie dengan penjelasan bahawa kemudahan sebanyak RM3.2 bililon telah diluluskan kepada Semenanjung dalam tempoh 2001-2019.

“Justeru satu laporan Polis akan dibuat ke atas Shafie kerana kenyataan berbaur fitnah oleh beliau dilihat secara jelas berniat jahat dan cubaan memesongkan fakta serta menunjukkan kononnya GRS telah melakukan salah laku sehingga membawa bencana kepada kewangan negeri Sabah.”

“Harus diingat pada tahun 2020 semasa berkuasa kerajaan di bawah parti Warisan pernah meluluskan pinjaman kepada Air Asia Berhad berjumlah RM300 juta melalui Development Bank (SDB) dan yang peliknya kelulusan tersebut dibuat semasa banyak syarikat berpangkalan di Sabah amat memerlukan bantuan kewangan akibat terjejas dengan Covid-19.”

“Warisan buat seketika memegang tampuk pimpinan Negeri Sabah pada tahun 2018. GRS cuma ditubuhkan pada tahun 2020″

“Selepas berjaya menumbangkan Warisan pada PRN-16, GRS sekaligus terpaksa memikul tugas untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan kerajaan sebelumnya.

“Masidi dalam satu kenyataan telah menjelaskan terdapat 20 akaun berjumlah kira-kira RM3.3 bilion yang diberikan oleh SD Bank kepada peminjam Semenanjung Malaysia sejak 2001.

“Daripada 20 akaun ini, 19 akaun tidak berbayar berjumlah kira-kira RM3.1 bilion. Baki akaun sebanyak RM100 juta telah diberikan dalam tempoh 2020 sehingga Mei 2024.”

“Ini untuk meneruskan projek bagi peminjam Semenanjung sedia ada yang akaunnya dengan SDBank wujud sebelum 2020 dengan matlamat utama prospek pemulihan yang lebih baik.

“Dapat dilihat bahawa tiada pinjaman baru diberikan oleh SD Bank kepada peminjam Semenanjung Malaysia sejak kerajaan GRS mengambil alih,” Zulkarnain berkata.

“Malah, sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi untuk SD Bank, Bahagian Syarikat Pengurusan Aset baharu telah disediakan sejak September 2023,” ujar beliau.

Zulkarnain menjelaskan bahawa pelan tersebut adalah untuk mendapatkan semula pinjaman itu secara agresif dan keluar dari Semenanjung Malaysia menjelang akhir 2026 atau lebih awal.

Dalam ucapannya, Shafie turut menyatakan bahawa jika pinjaman itu diberikan ‘ah-long’, sudah lama rumah si peminjam ditarik.

“Istilah ah-long ini telah lama diguna pakai Masidi dalam merujuk kepada keagresifan Kerajaan Negeri menagih hutang khususnya cukai tertunggak.

“Mentaliti ah long yang cekap diamalkan GRS terhadap pengelak cukai berjaya berkata mengutip semula RM5.4 bilion hasil Sabah pada tahun 2021, RM6.9 bilion pada 2022 dan RM6.9 bilion pada 2023,” tegas Zulkarnain.

— TAMAT