Home » Pengorbanan anggota keselamatan patut dihargai: Nizam
Berita Tempatan Politik

Pengorbanan anggota keselamatan patut dihargai: Nizam

ALBUM: Nizam bergambar bersama ahli PVATM dan anggota keselamatan yang terlibat dalam aktiviti sembelih lembu korban.

TAWAU: Pasukan keselamatan perlu terus dihargai kerana jasa dan pengorbanan mereka bagi memastikan keamanan negara khususnya di sempadan sangat besar maknanya.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ketika umat Islam bergembira merayakan Aidiladha, agensi penguatkuasaan tetap memastikan keselamatan negara terjamin.

Katanya, penugasan di perairan sempadan negara berjalan seperti biasa dan sudah pasti ada anggota keselamatan yang tidak dapat meraikan hari raya bersama keluarga mereka.

“Sebagai rakyat di negara ini, kita perlu menghargai pengorbanan yang mereka lakukan demi memastikan orang awam dapat hidup dengan aman tanpa ancaman luar.

“Justeru, saya sebagai wakil rakyat akan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada semua agensi penguatkuasa yang bertugas di daerah ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam Majlis Hari Raya Qurban KD Sri Tawau bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Tawau, di sini semalam.

Menurutnya, sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas berjaya menyalurkan sebanyak 18 ekor lembu korban.

Katanya, selain kawasan daerah mengundi Apas, lembu korban itu turut diagihkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan di daerah ini.

“Kita berjaya mengagih lembu ini kepada KD Sri Tawau, Polis Diraja Malaysia, Kem Tentera Kabota, Kem Tentera Kukusan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, ESSCOM dan PVATM.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada KD Sri Tawau dan PVATM Tawau kerana berjaya menganjurkan majlis yang penuh bermakna ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, PVATM Tawau dilihat sangat aktif melakukan aktiviti-aktiviti yang memberikan manfaat kepada setiap ahlinya.

“Saya sangat menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh PVATM Tawau demi memastikan kebajikan setiap ahlinya terbela,” katanya.

AGIH: Nizam (dua kiri) dan Razali (kiri) ketika mengagihkan daging korban kepada anggota keselamatan yang bertugas.

Sementara itu, Pegawai Memerintah KD Sri Tawau merangkap Penasihat PVATM Tawau Komander Razali Jusoh berkata, sumbangan lembu korban yang diberikan ini sangat bermakna kepada semua anggota terutamanya yang tidak balik beraya.

Katanya, melalui aktiviti bergotong-royong menyembelih lembu korban ini dapat menghilangkan kerinduan anggota yang bertugas kepada kampung halaman mereka.

“Saya berharap Hari Raya Aidiladha ini dapat memberikan kesedaran kepada semua umat Islam tentang erti pengorbanan kepada agama, bangsa dan negara.

“Pengorbanan anggota keselamatan kepada negara juga adalah ibadah yang sangat besar dan perlu dilaksanakan dengan ikhlas,” katanya.

— Hamzah Sanudin