Home » Shahelmey komited tangani isu air
Politik Sudut Pandangan

Shahelmey komited tangani isu air

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya mengadakan lawatan tapak ke Telibong untuk meninjau status kerja pemasangan dan penyambungan paip (falling main) dan juga memantau operasi loji rawatan air Telibong II Fasa II yang telah siap pada awal Disember lepas.

PETANG Rabu kelmarin, cuaca redup dan sedikit berangin. Jalan di Bandaraya Kota Kinabalu sesak. Kenderaan bergerak perlahan, bertali arus.

Datuk Shahelmey Yahya, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya — baharu selesai menghadiri mesyuarat Kabinet negeri — bergegas dari Menara Kinabalu ke pejabatnya di Bangunan JKR di Sembulan.

Dua pembantu menterinya — Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik bersama barisan pegawai kanan kementerian serta agensinya sudah sedia menunggu — untuk mesyuarat pasca Kabinet. Shahelmey tiba dan mesyuarat segera bermula.

Tepat jam 5.45 petang, seperti dijanjikan, Shahelmey naik ke pejabatnya di Tingkat 7 bertemu saya dan rakan media, Mohammed Yazzer Mahmun, wartawan Wakil Rangkaian Media Prima (MPTVN) Sabah & Sarawak, untuk sesi temuramah khas.

“Maaf kerana terpaksa menunggu…” Shahelmey menyapa kami, lalu mengajak masuk ke pejabatnya.

Kami sengaja datang awal ke pejabatnya kerana bimbang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Sementara Yazzer bertanya soal pencemaran air dan isu jalan, saya fokus kepada isu air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mencetuskan polemik sejak seminggu lalu, susulan protes `Kami Mahu Air’ yang diadakan di hadapan Menara Kinabalu.

Shahelmey pun menjelaskan secara terperinci mengenai isu air yang dibangkitkan serta langkah yang diambil kerajaan, terutama Jabatan Air Negeri Sabah.

Di pihak kerajaan, usaha sedang berjalan untuk meningkatkan bekalan air di sekitar ibu negeri termasuk kawasan Sepanggar di mana letaknya kampus induk UMS.

Menurutnya, sumber bekalan air di kawasan berkenaan datangnya dari Loji Telibong, Tuaran, dan projek fasa dua sudah pun siap pelaksanaannya.

Cuma pembinaan saluran utama menuju ke ibu negeri masih belum selesai, justeru pengeluaran dengan kapasiti sebenar projek fasa kedua itu belum dapat dioptimakan.

Shahemley menjelaskan bahawa penyaluran bekalan air ke Sepanggar merupakan antara kawasan mencabar bagi Jabatan Air Negeri Sabah.

Ini kerana sepanjang laluan paip utamanya terdapat banyak penempatan setinggan yang majoriti diduduki pendatang tanpa izin dan aktiviti penyambungan paip haram begitu aktif.

“Sejak Januari hingga pertengahan Jun ini, kita telah memotong sebanyak 679 sambungan paip haram di sekitar kawasan berkenaan menerusi operasi berkala yang dijalankan oleh Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya.

Namun, selepas pemotongan bekalan dilakukan, kegiatan penyambungan semula masih berlaku dan pemantauan berterusan tetap dilakukan.

Usaha menanganinya pula tidak semudah dicakap disebabkan pelbagai kekangan, termasuk kekurangan anggota penguatkuasa serta pertimbangan mengenai aspek keselamatan.

Yang penting, untuk menangani isu penyambungan paip haram ini secara tuntas, ia memerlukan dukungan serta komitmen semua pihak termasuk tindakan bersepadu bersama oleh agensi penguatkuasa lainnya.

Shahelmey turut menjelaskan mengenai satu lagi usaha kerajaan negeri mengurangkan impak atau kesan gangguan bekalan air di sekitar kampus induk UMS itu.

Usaha itu ialah menyediakan empat tangki statik di kawasan penempatan setinggan di sekitarnya sebagai sumber penduduk mendapatkan bekalan air.

Apabila ada kemudahan tangki statik itu, maka kegiatan penyambungan paip haram oleh setinggan serta ketirisan bekalan air dapat diminimumkan, sekali gus membolehkan pembekalan air kepada pengguna berdaftar dapat dipertingkatkan.

Secara purata, kadar air tidak terhasil (NRW) di Bandaraya Kota Kinabalu adalah sekitar 30 peratus.

Shahelmey turut menyatakan bahawa kerajaan mempunyai pelbagai pendekatan jangka panjang untuk menangani isu air yang menjadi perdebatan akhir-akhir ini.

Katanya, kerajaan tidak berhenti di satu titik, sebaliknya komited untuk terus berusaha menangani setiap rintangan dan cabaran yang mendatang.

Baginya, usaha menyediakan bekalan air ini sememangnya sesuatu yang mencabar, tapi cabaran itu sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk menyediakan yang terbaik untuk rakyat secara keseluruhannya.

Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment