Home » JKDM Sabah rampas minuman keras disorok bawah tong biru
Berita Tempatan Jenayah

JKDM Sabah rampas minuman keras disorok bawah tong biru

KOTA KINABALU: Pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sabah berjaya menggagalkan satu cubaan seludup minuman keras yang disorokkan di bawah muatan tong biru dalam sebuah lori.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan terbabit melibatkan sebanyak 2,500 karton pelbagai jenis minuman keras dengan nilai keseluruhan lebih RM450,000.

Katanya, satu serbuan dijalankan di Kilometer 1.0 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, Kampung Novoung Papar membabitkan sebuah lori kira-kira jam 11 malam pada 12 Jun lepas.

Katanya, serbuan terbabit dibuat hasil maklumat Cawangan Risikan, Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati lori berkenaan mempunyai muatan sebanyak 30 tong biru yang diletakkan dan disusun di permukaan atas muatan lori.

“Modus operandi bagi kes ini adalah menyembunyikan barang tidak berkastam bagi tujuan penyeludupan dan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pihaknya turut menahan lori terbabit yang dianggarkan bernilai RM100,000 manakala anggaran jumlah duti dan cukai minuman keras terbabit sebanyak RM278,457.60 serta rampasan barangan lain bernilai RM4,000.

Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM451,223.60 dan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang bertindak sebagai pemandu lori itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kesemua minuman keras berlabel Duti Malaysia Tidak Berbayar (MDNP) pelbagai jenama yang disusun dan diletakkan di bawah timbunan tong-tong biru berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, lori berkenaan dikesan menaiki feri dari Labuan sebelum meneruskan perjalanan dari Menumbok ke Kota Kinabalu.

Pihaknya turut berjaya mengesan pemilik lori yang menyewakan lori berkenaan kepada suspek yang terlibat.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kesalahan mengangkut barang tidak berkastam bagi tujuan mengelak membayar cukai.

“Jika sabit kesalahan, kesalahan pertama memperuntukkan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar, atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Dalam pada itu katanya, pihak JKDM juga memberi jaminan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

-utusanborneo

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment