Home » Robert berjaya pertahan kerusi Timbalan Presiden
Berita Tempatan Politik

Robert berjaya pertahan kerusi Timbalan Presiden

Robert (dua dari kiri) setelah memenangi jawatan Timbalan Presiden STAR beriltizam untuk terus membantu Presiden STAR dalam menuntut hak-hak Sabah yang belum terlaksana dan diselesaikan, selari dengan perjuangan parti.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Mesyuarat Perwakilan Tri Tahunan STAR Sesi 2024-2027 yang berlangsung pada Sabtu lepas.


Robert disahkan memenangi jawatan nombor dua itu selepas memperoleh 188 undi, menewaskan pencabarnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Annuar Ayub Aman dengan 173 undi.


Mesyuarat Perwakilan Tri Tahunan STAR itu telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), yang dirasmikan Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.


Selepas diumumkan semua keputusan pemilihan pimpinan kanan parti, Robert ketika ditemui pemberita mengucapkan berbanyak terima kasih atas kehadiran seluruh perwakilan ke mesyuarat berkenaan.


Beliau turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada para perwakilan, pemimpin bahagian seluruh Sabah kerana telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih pucuk pimpinan bagi sesi 2024-2027 pada mesyuarat kali ini.


Robert setelah memenangi jawatan Timbalan Presiden STAR beriltizam untuk terus membantu Presiden STAR dalam menuntut hak-hak Sabah yang belum terlaksana dan diselesaikan, selari dengan perjuangan parti.


Beliau turut memberi jaminan akan terus menemui ahli-ahli di peringkat akar umbi termasuk rakyat bagi memastikan aspirasi mereka untuk Sabah terus diberi perhatian sewajarnya termasuklah menerima sebarang teguran bagi menambah baik lagi khidmat kepada rakyat.

— Kenneddy Corlleus