Home » Dua syarikat Sabah terima kontrak dari SSPC
Berita Tempatan Politik

Dua syarikat Sabah terima kontrak dari SSPC

KONTRAK: Rodney (duduk, dua kanan), dan Hassan (duduk, kanan) ketika menandatangani kontrak bersama Sabah Shell Petroleum Company Ltd yang disaksikan oleh Masidi (berdiri tengah).

KOTA KINABALU: Dua syarikat yang berpangkalan di Sabah menerima dua kontrak berasingan daripada Sabah Shell Petroleum Company Ltd (SSPC) bagi operasi aset laut dalam.

Majlis menandatangani kontrak itu diadakan selepas majlis perasmian Persidangan dan Pameran Minyak, Gas & Tenaga Sabah (SOGCE) di sini hari ini.

Menteri Kewangan yang juga Pengerusi SMJ Energy Sdn Bhd Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyaksikan majlis menandatangani kontrak berkenaan bersama Pengerusi Negara Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman.

SSPC menandatangani kontrak berkenaan dengan syarikat SAZMA Aviation bersama sebuah lagi dengan syarikat tempatan Sabah.

Kontrak SSPC bersama SAZMA Aviation bagi penyediaan perkhidmatan helikopter luar pesisir untuk mengangkut anggota dengan selamat sama ada menuju atau dari lokasi luar pesisir.

Ketua Pegawai Eksekutif SAZMA Aviation Rodney Pinus menandatangani bagi pihak syarikat dan disaksikan oleh Pengerusi SAZMA Aviation Datuk Hassan A Gani Pg. Amir.

Pengurus Besar SSPC Wong Kim Mun menandatangani bagi kedua-dua kontrak berkenaan.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS Datuk Bacho Pilong dan Pengerusi Penganjur SOGCE Dolly Jimayol.

TAMAT