Home » Sabah-MM2H kini dilancar, sedia menerima peserta pada Julai
Berita Tempatan

Sabah-MM2H kini dilancar, sedia menerima peserta pada Julai

SESI: Christina (tengah) ketika dalam sesi soal jawab dalam majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dengan bangganya mengumumkan Program Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H). 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, Sabah-MM2H adalah program yang dirancang khusus untuk menarik minat pelabur luar ke negeri ini.

Katanya, Sabah terkenal di peringkat global dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian biodiversiti, kebudayaan dan paling penting adalah suasana yang kondusif untuk kehidupan.

Oleh itu katanya, Sabah-MM2H akan menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan bagi pesara luar negara atau individu yang mahu berhijrah ke negeri ini untuk satu tempoh masa yang lama.

Christina berkata, program Sabah-MM2H bukan sahaja sebagai cara untuk menarik pelabur untuk menjadikan Sabah sebagai rumah kedua mereka, tetapi juga sebagai pemangkin bagi pertukaran budaya, kemakmuran ekonomi dan pembangunan lestari dalam komuniti negeri ini.

“Program Sabah-MM2H menawarkan visa yang boleh diperbaharui selama 10 tahun dengan pelbagai keistimewaan.

“Ini akan membolehkan peserta menikmati kebebasan untuk meneroka dan menikmati segala kemudahan serta keindahan yang ditawarkan di negeri ini tanpa ada sekatan,” katanya.

Beliau berkata, peserta program ini juga akan berpeluang memiliki hartanah di Sabah, akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan pilihan untuk mendaftarkan anak-anak mereka di institusi pendidikan yang berprestij serta banyak lagi.

Christina berharap program itu juga akan memupuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di Sabah.

Beliau turut mengajak semua bakal peserta dan pihak berkepentingan untuk mempertimbangkan Sabah bukan hanya sebagai destinasi, tetapi sebagai tempat untuk dipanggil rumah.

Katanya, kabinet negeri Sabah telah meluluskan Program Sabah-MM2H dan selepas acara pelancaran ini, Sabah bersedia menerima permohonan bermula dari 1 Julai 2024.

Hadir sama Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Awang Shahminan Awang Sahari dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Josie Lai.

UB