Home » Pasukan petugas khas percepat agenda noktah miskin tegar di Sabah
Berita Tempatan Politik

Pasukan petugas khas percepat agenda noktah miskin tegar di Sabah

DUN: Hajiji (kiri) diiringi Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, menteri serta pembantu menteri semasa tiba untuk Persidangan DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Bagi mempercepatkan agenda menoktahkan miskin tegar di negeri ini, kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) bersama Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Sabah menubuhkan pasukan petugas khas (special task force) .

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu juga sebagai komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu kemiskinan tegar di Sabah.

Menurutnya, objektif utama pasukan petugas khas itu adalah melaksanakan gerak kerja pemutihan dan profiling miskin tegar di lapangan dalam mengenal pasti status terkini Ketua Isi Rumah (KIR) berdasarkan ‘locked figure’ (LF) miskin tegar.

Katanya, bagi KIR yang masih diklasifikasikan sebagai miskin tegar, intervensi dan pemadanan bantuan yang bersesuaian akan diberikan kepada golongan berkenaan.

“Pasukan petugas khas ini juga bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah bagi membantu kerja di lapangan.

“Secara asasnya, pasukan ini bertanggungjawab untuk melihat semula status terkini KIR bagi penyelarasan data di dalam sistem eKasih. 

“Urus setia program juga akan melaksanakan intervensi bantuan terhadap KIR yang dikenal pasti bagi penyaluran bantuan berdasarkan padanan dan keperluan setiap KIR,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai langkah-langkah yang diambil bagi memastikan sasaran yang ditetapkan oleh Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah pada Julai tahun ini dapat dilaksanakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Hajiji berkata, Sekretariat SMJ sebagai urus setia Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah akan bertindak untuk menyelaras data KIR yang berstatus miskin tegar yang telah menerima bantuan seterusnya dipadankan dengan bantuan bersesuaian.

Katanya, kerajaan negeri membangunkan 13 indikator untuk menentukan kesahihan status miskin tegar dengan memberi keutamaan kepada jenis bantuan yang perlu diberikan secara bersasar dan tepat.

“Setakat 30 Jun 2024, angka KIR berstatus miskin tegar berubah daripada 22,510 kepada 5,379 KIR dengan penurunan sehingga 76.1 peratus.

“Seramai 17,131 KIR yang  berubah status adalah disebabkan faktor termasuk seramai 14,146 KIR didapati berubah status kepada miskin dengan jumlah pendapatan isi rumah di antara RM1,218 sehingga RM2,742.

“Terdapat 2,093 KIR berubah status kepada melebihi paras miskin dengan jumlah pendapatan melebihi RM2,742 dan seramai 477 KIR didapati meninggal dunia tapi masih dalam senarai LF,” katanya.

Selain itu jelasnya, seramai 394 KIR tidak dapat dikesan dan 21 KIR lagi berpindah negeri. Hasil semakan bersama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) juga menunjukkan seramai 3,531 KIR memiliki tanah bergeran.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak bermula gerak kerja Sekretariat SMJ dan agensi-agensi pemberi bantuan negeri yang lain, sebanyak 45,998 intervensi dan bantuan diberikan kepada KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) miskin tegar untuk meningkatkan ekonomi.

“Salah satu teras utama Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah adalah dengan menyediakan bantuan perumahan di bawah Program Rumah Mesra SMJ.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 20 unit rumah setiap tahun bermula 2022. Sepanjang tempoh tiga tahun ini, sebanyak 4,482 Rumah Mesra SMJ diperuntukkan.

“Setakat ini 1,709 unit rumah disiapkan dan diserahkan kepada isi rumah miskin tegar. Selain itu, seramai 264 KIR menerima bantuan baik pulih rumah di bawah seliaan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP),” katanya.

Siti Aisyah Narudin