Home » DUN Sabah lulus RUU Enakmen Mahkamah Syariah 2024
Berita Tempatan Politik

DUN Sabah lulus RUU Enakmen Mahkamah Syariah 2024

Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Membakut YB Datuk Arifin Arif bersama Pengamal Media yang bertugas sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 mengabadikan gambar kenangan di hari ketiga sidang DUN.

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Mahkamah Syariah 2024  dan tiga pindaan berkaitan Mahkamah Syariah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Kesemua RUU berkenaan diluluskan oleh Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Al Hambra Juhar selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif ketika membentangkan RUU Enakmen Mahkamah Syariah 2024 berkata, RUU berkenaan adalah untuk mewujudkan undang-undang baharu, antara lainnya peruntukan berkaitan dengan Penubuhan Mahkamah Utama Syariah sebagai lapisan ke empat mahkamah yang paling tertinggi dalam susunan hiraki kehakiman Syariah.

Menurutnya, penubuhan RUU itu akan melibatkan perubahan bidang kuasa bagi setiap mahkamah, perubahan proses rayuan dan penyemakan daripada setiap mahkamah, pelantikan hakim-hakim, pelantikan pendaftar dan pelantikan pegawai Sulh bagi setiap mahkamah.

Katanya, pada masa ini, hanya terdapat tiga lapisan mahkamah dalam struktur bidang kuasa Mahkamah Syariah di seluruh Sabah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Beliau berkata, RUU Enakmen Mahkamah Syariah 2024 melibatkan 10 bahagian dan 50 fasal.

“Demi kepentingan keadilan dan bersesuaian dengan kuasa Mahkamah Syariah terhadap undang-undang Islam lain, sama ada yang sedang berkuat kuasa atau undang-undang baharu yang bakal diperkenalkan.

“Antara lainnya mengenai pewarisan harta pusaka orang Islam dan pengangkatan anak orang Islam, strukutur Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya hendaklah diperkemaskan dengan menambah lagi satu lapisan mahkamah yang lebih tinggi.

“Ia untuk memberi ruang yang lebih luas kepada pihak-pihak untuk menyemak dan merayu daripada mahkamah yang lebih rendah kepada mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, RUU Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2024 digubal untuk memasukkan Bahagian baharu IIA ke dalam Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004 bagi mengadakan peruntukan perkara berhubungan dengan pendakwaan syariah dan penguatkuasaan agama.

Menurutnya, RUU Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024 adalah bertujuan meminda takrif tertentu bagi istilah tertentu dalam seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2004 supaya selaras dengan istilah masa kini yang digunakan dalam undang-undang yang berkaitan.

“RUU Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024 adalah bertujuan meminda takrif tertentu bagi istilah tertentu dalam subseksyen 3(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 supaya selaras dengan istilah masa kini yang digunakan dalam undang-undang yang berkaitan termasuk pindaan lain yang berkaitan,” katanya.

–Siti Aisyah Narudin