Home » Agensi kerajaan digesa beri ruang untuk golongan wanita
Berita Tempatan Politik

Agensi kerajaan digesa beri ruang untuk golongan wanita

Timbalan Pengerusi Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Puan Sri Diana Diego berkata peranan golongan Wanita amat penting dalam apa juga keadaan dan perlu diberikan tanggungjawab yang mencabar seperti ruang dan peluang yang turut diberikan kepada golongan lelaki.

KOTA KINABALU : Sudah sampai masanya pihak yang berkuasa dalam jabatan kerajaan atau mana-mana agensi yang berkaitan memberi ruang dan peluang kepada golongan wanita di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Puan Sri Diana Diego berkata peranan golongan Wanita amat penting dalam apa juga keadaan dan perlu diberikan tanggungjawab yang mencabar seperti ruang dan peluang yang turut diberikan kepada golongan lelaki.

“Sudah tiba masanya wanita diberikan mandat yang lebih sekiranya wanita yang berkenaan itu mempunyai kelayakan dan pengalaman sama taraf dengan lelaki.

“Pada dasarnya, kerajaan menyokong saranan untuk memberi ruang dan peluang kepada wanita sehingga 30% dalam kedudukan yang berkuasa, namun dasar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya pihak-pihak yang berwajib tidak mempunyai kesungguhan dan komitmen yang tinggi ke arah itu,” jelas Diana yang juga merupakan Ketua Penyelaras Wanita GRS Parlimen Kota Belud.

Beliau menyokong kenyataan Pengerusi IDS Datuk Seri Azizah Mohd Dun yang disiarkan oleh akhbar Daily Express bertarikh 15 Julai lalu sewaktu pembentukan ‘Women Leadership Initiative Committee’ (WLIC) di mana Azizah turut menggesa agar golongan Wanita diberikan mandat yang sewajarnya oleh kerajaan.

Setakat ini katanya, penyertaan atau keterlibatan wanita dalam kedudukan yang berkuasa hanyalah di bawah 10 peratus.

“Satu jalan pintas yang membolehkan wanita menduduki jawatan yang berkuasa adalah melalui penglibatan mereka dalam parti-parti politik yang mencalonkan pemimpin-pemimpin wanita yang berkebolehan dalam pilihanraya.

“Dengan memenangi kerusi dalam pilihanraya, wanita akan menjadi Wakil Rakyat dan boleh di lantik sebagai Menteri atau mana mana jawatan yang dianggap sesuai, ” jelasnya kepada wakil-wakil media di sini pada Selasa.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment