Home » Tiada perkembangan pelaksanaan MA63 termasuk hasil bersih 40 peratus tanda kurang kesungguhan kerajaan persekutuan- Jeffrey
Berita Tempatan Politik

Tiada perkembangan pelaksanaan MA63 termasuk hasil bersih 40 peratus tanda kurang kesungguhan kerajaan persekutuan- Jeffrey

Jeffrey menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak mendapat yang lebih baik, dan sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmennya untuk membetulkan isu yang telah lama berlarutan itu.

KOTA KINABALU: Rangka masa 12 bulan yang dicadangkan, dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal, untuk memuktamadkan pelaksanaan formula peruntukan hasil bersih 40% untuk Sabah hampir di penghujungnya, dengan hanya dua minggu lagi.

“Walaupun begitu, tiada perkembangan atau pengumuman mengenai isu kritikal ini. Kekurangan tindakan ini jelas menunjukkan kekurangan kesungguhan daripada Kerajaan Persekutuan,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam sebuah kenyataan yang disiarkan oleh facebook beliau pada khamis.

Menurutnya peruntukan hasil bersih 40 peratus adalah penting untuk memastikan Sabah menerima bahagian yang saksama daripada hasil yang dijana dalam sempadannya, bagi menyokong pembangunan negeri dan meningkatkan kebajikan rakyatnya.

Jelasnya, selama beberapa dekad, rakyat Sabah telah menunggu pelaksanaan penuh perjanjian itu, yang mana penting untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran keseluruhan negeri.

Sementara itu katanya, kegagalan berterusan untuk menghormati hak pendapatan 40 peratus mengekalkan jurang ekonomi dan menyumbang kepada keterbelakangan dan kemiskinan di Sabah.

Jeffrey menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak mendapat yang lebih baik, dan sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmennya untuk membetulkan isu yang telah lama berlarutan itu.

“Sehubungan dengan kebimbangan ini, saya menggesa kerajaan Madani supaya mengutamakan pelaksanaan 40 peratus peruntukan hasil bersih untuk Sabah, lebih-lebih lagi kerajaan negeri telah menyediakan data yang diperlukan.

“Memastikan Sabah menerima bahagian pendapatannya yang sah bukan semata-mata isu kewangan tetapi soal keadilan dan kesaksamaan.

“Langkah konkrit mesti diambil untuk memenuhi komitmen ini dan memastikan semua aspek MA63 dilaksanakan sepenuhnya mengikut masa dan telus,” katanya.

Tegasnya lagi, rakyat Sabah sudah cukup lama menunggu dan sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan bertindak dengan segera dan ikhlas. Kejayaan pelaksanaan MA63, termasuk 40 peratus peruntukan hasil bersih, akan memberi manfaat kepada Sabah dan mengukuhkan perpaduan dan keeratan negara kita secara keseluruhan.

— TAMAT