Home » Warga KKRS diingat tidak libat rasuah, salah laku: Shahelmey
Uncategorized

Warga KKRS diingat tidak libat rasuah, salah laku: Shahelmey

KENANGAN: Shahelmey (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama warga KKRS pada majlis perasmian ITU.

KOTA KINABALU: Warga Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) diingatkan untuk tidak terlibat gejala rasuah dan salah laku.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya menegaskan, pihak pengurusan tidak akan berkompromi dengan pelaku-pelaku rasuah dan salah laku terutama dalam warga kementeriannya.

“KKRS akan terus bekerja sama dengan Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) dalam memantau tindak tanduk pegawai kementerian bagi memastikan isu-isu berkaitan integriti dapat dibendung dan dicegah daripada berlaku.

“Saya juga mengalu-alukan pihak BIGoNS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk sama-sama membantu dalam meneliti dan memberi nasihat jika terdapat perlakuan rasuah dan salah laku di bawah kementerian ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Minggu Integriti KKRS 2024 di Ibu Pejabat KKRS, pada Isnin.

Shahelmey berkata, penganjuran program yang berlangsung dari 22 sehingga 26 Julai itu bertujuan mendidik pegawai perkhidmatan awam negeri terutama warga KKRS agar berupaya membudayakan integriti dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat umum.

Katanya, memerangi rasuah adalah menjadi keutamaan kerajaan dan usaha itu memerlukan sokongan semua pihak agar amalan tersebut tidak menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.

“Rasuah bukan sahaja kesalahan undang-undang tetapi juga merupakan kesalahan sosial dan peradaban yang boleh menjejaskan imej kementerian, jabatan, negeri dan negara amnya.

“Namun perlakuan rasuah hanyalah salah satu dari cabang integriti yang mana ia tidak terhad kepada perlakuan rasuah, malah ia satu konsep yang lebih luas termasuklah integriti dalam menyebarkan maklumat.

“Sedawarsa ini, kita dapat melihat ramai individu berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama menyebarkan sesuatu maklumat.

“Namun kesahihan maklumat yang disebarkan tidak disemak dengan teliti sebelum dihebahkan sehingga menimbulkan kesan negatif kepada masyarakat sekeliling.

“Justeru itu, saya ingin menyeru kepada semua warga kementerian dan agensi di bawah KKRS untuk sentiasa menyalurkan maklumat yang berintegriti dan tepat kepada masyarakat bagi mengelakkan maklumat dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment