Home » Politik tempatan adalah pilihan
Politik Sudut Pandangan

Politik tempatan adalah pilihan

Jika kecenderungan pengundi tidak banyak berubah pada PRN-17 akan datang, dijangka GRS adalah parti yang menang kerusi terbanyak.

APABILA pada PRU-14, parti yang diterajui parti Nasional hilang kuasa, atas sebab rakyat Sabah bertukar angin pada parti lokal, maka bermula daripada masa itu, sebahagian pemimpin Sabah terpanggil untuk memperkasakan parti tempatan/lokal.

Parti Warisan yang mendapat banyak kerusi semasa PRU-14 sehinggakan menafikan penguasaan Barisan Nasional yang diterajui Umno, kerana perjuangan parti itu mengnyahkan Umno daripada bumi Sabah, akan tetapi apabila parti itu mengubah perjuangan dan mengembangkan sayap ke Semenanjung, maka parti itu dengan sendirinya meninggalkan perjuangan asal.

Apabila meninggalkan perjuangan asal, maka rakyat Sabah menolak, sebab itu pada PRU-15 gagal mempertahankan 5 kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU sebelumnya.

Parti itu bukan sahaja kehilangan sokongan, akan tetapi ramai wakil-wakil rakyat parti itu keluar daripada parti, dan menyertai parti lokal/tempatan sesuai dengan perjuangan asal mereka.

Oleh kerana perubahan lanskap politik Sabah yang ditandai perubahan sikap rakyat terhadap parti import terutama di kawasan bumiputera, maka apapun pendekatan yang dilakukan tidak akan mengubah perubahan sikap rakyat.

Tugas utama parti lokal/tempatan terutama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain menyesuaikan diri dengan perubahan sikap rakyat, juga perlu memastikan harapan dan aspirasi mereka dapat direalisasikan.

Parti import terutama Umno masih cuba membawa rakyat dengan naratif masa lalu dengan memberi harapan setinggi gunung, sedangkan faktanya berdekad-dekad parti itu diberi kepercayaan rakyat untuk merealisasikan harapan dan aspirasi gagal ditunaikan.

Naratif Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkaitan kemajuan dan pembangunan yang boleh ditawarkan Umno hanya satu ilusi, kerana Parlimen Kinabatangan yang beliau wakili sejak tahun 1999 bagi pihak Umno, gagal dimajukan, apa tah lagi bercakap kemajuan Negeri Sabah daripada Pulau Banggi ke Pulau Sebatik.

Parti Umno yang yang ditolak di Semenanjung, cukup malang bagi sesetengah rakyat Sabah yang masih menyokong parti itu.

Pandangan penulis biarlah pemimpin parti itu yang masih mahu agar parti yang mereka pimpin kekal relevan, akan tetapi rakyat sebagai penentu tiada sebab lagi untuk menyokong. Ambil lah iktibar apa yang dilakukan para pemimpin parti itu di masa lalu, yang terfokus pada kedudukan dan kuasa akan tetapi tanggungjawab pada rakyat diketepikan, jika pun ada tindakan membela rakyat, ianya seperti melepas batuk di tangga.

Kepada rakyat Sabah, yakin lah kalau bukan dari rakyat Sabah sendiri memajukan dan membangun negeri, tiada sesiapa yang dapat melakukanya. Atas sebab itu, rakyat Sabah perlu berdiri teguh pada rumah sendiri, menjaganya, sesuai dengan perjuangan parti GRS!!!.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .