Home » Kembalikan kegemilangan PBS: Joachim
Berita Tempatan Politik

Kembalikan kegemilangan PBS: Joachim

KENANGAN: Joachim (tengah), Julita (empat kiri) bergambar bersama exco pemuda yang hadir merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Belia-beliawanis Parti Bersatu Sabah (PBS) diminta untuk bersama-sama mengembalikan kegemilangan parti. 

Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, ‘Let’s make PBS great again’ ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Exco Pemuda PBS di sini kelmarin. 

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Exco Pemuda PBS atas kejayaan menganjurkan seminar yang disertai oleh ahli-ahli exco pemuda daripada semua bahagian. 

Seminar itu bertujuan mempertingkatkan keupayaan menarik minat belia-beliawanis untuk menyertai PBS dan mengukuhkan lagi semangat cintakan parti dalam kalangan Pemuda PBS. 

“Pemuda PBS perlu mengadakan jelajah masuk ke kawasan seluruh negeri Sabah terutama yang ada peluang untuk menang dan jangan tunggu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) baru mahu mula masuk kawasan,” katanya. 

Menurutnya, memberikan kemenangan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ialah keutamaan.

Beliau berkata, kerjasama Bersatu Solidariti (BEST) antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) perlu dikekalkan. 

“PBS adalah parti berbilang bangsa dan perlu mengekalkan kemenangan di kawasan Kadazan Dusun dan Murut (KDM) selain masih mendapat sokongan di kawasan Bumiputera Islam. 

“Kerana itu, saya menyeru kita semua bersatu dan kelihatan kuat kerana melalui ini sahaja kita akan dapat memenangi kawasan itu,” katanya. 

Turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada 14 bekas Exco Pemuda dan bekas Timbalan Ketua Pemuda PBS. 

Hadir sama, Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki; Bendahari, Datuk Lu Kim Yen; Setiausaha Eksekutif, Mesilus Roman; Penolong Setiausaha Agung, Datuk Jonnybone Kurum; Ketua Pemuda, Dr. Christoper Mandut, Pengerusi Penganjur, Louis Lai; Ahli-ahli Bahagian, Ketua -Ketua Bahagian dan beberapa lagi Exco wanita. 

— TAMAT