Home » Rancang sebelum menyambung pengajian ke peringkat tinggi : Masidi
Berita Tempatan Politik

Rancang sebelum menyambung pengajian ke peringkat tinggi : Masidi

Masidi menggesa para pelajar untuk memilih jurusan yang berdaya saing atau menjanjikan pendapatan yang lumayan ketika menyampaikan uacapannya di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Ranau.

RANAU : Pelajar seharusnya merancang apa bidang pengajian yang bakal mereka ikuti sebelum menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi kelak.

Ini bagi mengelakkan mereka terjebak ke dalam lingkungan “pelajar yang hanya menyambung pengajian dan berisiko untuk keluar sebagai graduan tanpa prospek pekerjaan yang baik”, ujar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam sebuah Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Ranau.

Masidi berkata, terlalu ramai graduan lepasan universiti dan kolej yang kini gagal untuk mendapatkan pekerjaan yang baik sungguhpun memiliki ijazah atau diploma disebabkan hanya memilih jurusan yang mudah namun tidak berdaya saing atau menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, sektor yang berdaya saing dan menjanjikan pendapatan yang lumayan di Sabah pada masa ini dan akan datang adalah sektor minyak dan gas, yang mana sektor ini sangat-sangat memerlukan prospek yang berlatarbelakangkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Melalui Perjanjian Kolaborasi Komersil Antara Kerajaan Negeri Sabah Dan Petronas, sebanyak 5 bilion telah diperuntukkan oleh Petronas khusus untuk kontrak-kontrak dalam sektor minyak dan gas, yang sepatutnya dimanfaatkan oleh pemain-pemain industri anak-anak Sabah.

“Malangnya, daripada jumlah tersebut, hanya 11% daripada perolehan kontrak-kontrak adalah terdiri daripada syarikat-syarikat yang berasal daripada Sabah dan dimiliki oleh anak Jati Sabah.

“Untuk itu, bagi menghasilkan pemain industri yang unggul, pelajar-pelajar Irsyadiah yang berlatar belakangkan agama seharusnya mengambil peluang dengan mengasimilasikan keagamaan dan juga merebut peluang berkenaan dengan memilih jurusan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sebagai pilihan pengajian kelak bagi memenuhi kehendak dalam sektor berkenaan.”

Beliau berkata demikian ketika berucap dihadapan kira-kira 250 orang yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan guru dalam satu majlis yang gilang-gemilang, di Foyer SMA Al Irsyadiah.

Terdahulu, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah mencatatkan peningkatan akademik selama 5 tahun berturut-turut dan berjaya dinobatkan sebagai sekolah terbaik di daerah Ranau dengan pencapaian cemerlang selama 2 tahun berturut-turut iaitu GPS 3.10 pada tahun 2022 dan GPS 2.48 pada tahun 2023.

Dalam majlis tersebut, Masidi menyampaikan Anugerah Wangsa Mutia kepada 3 pelajar yang memperoleh 11A dalam SPM iaitu Marsa Ulfa Binti Baharuddin, Eqah Syamimi Binti Ahinin @ Hajin dan Syahzwan Arash Bin Khairudin @ Amiudin, serta Anugerah Pelajar Terbaik STAM 2023 (Kategori Peperiksaan Awam) kepada Siti Ain Syafiqah Binti Munib yang memperoleh keputusan Jayyid.

Ekoran kecemerlangan sekolah tersebut, Masidi berkenan untuk meluluskan pembinaan sebuah Dewan Serbaguna SMA Al-Irsyadiah Ranau dengan peruntukan berjumlah RM200,000, Sistem Takungan & Saliran (Tangki) berjumlah RM27,700 dan Insentif Kecemerlangan Guru-Guru berjumlah RM10,000.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Amisah Yassin, ADUN Dilantik, Datuk Hj Faimin Kamin, Pengerusi Pengelola Lembaga Pengurusan Sekolah, Ustaz Esibi Lakui, Pengetua SMA Al-Irsyadiah Ranau dan para pelajar, ibu bapa dan guru.

TAMAT


About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment