Home » Kolej Komuniti Tambunan pemangkin inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi
Berita Tempatan

Kolej Komuniti Tambunan pemangkin inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi

KOMUNITI: Peserta Program Pembelajaran Sepanjang Hayat merakamkan kenangan bersama Zaini, wakil KPT dan KKTBS.

KOTA KINABALU: Bagi memenuhi keperluan komuniti setempat, Kolej Komuniti Tambunan Sabah (KKTBS) memanfaatkan inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Menerusi program PSH, pihak KKTBS menawarkan pelbagai kursus pendek merangkumi pelbagai bidang seperti teknologi, keusahawanan, kemahiran teknikal, dan seni kreatif.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang mengadakan lawatan kerja ke KKTBS bagi melihat pelaksanaan Program PSH yang dijalankan kolej itu.

Pengarah Kolej Komuniti Tambunan Longgat berkata, Program PSH berpotensi memberikan impak yang signifikan kepada komuniti setempat antaranya dengan meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan peserta.

Menurutnya, selain menyediakan peluang untuk meningkatkan dan memperbaharui kemahiran, para peserta  juga dapat memperoleh pengetahuan baharu yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian dan pekerjaan mereka.

Katanya, dengan menyertai PSH, ia juga membantu meningkatkan kebolehpasaran pekerja dengan menjadikan individu lebih berdaya saing dalam pasaran kerja serta membantu pekerja menyesuaikan diri dengan permintaan dan keperluan terkini.

“Melalui Program PSH, setiap peserta disediakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan setersunya menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.

“Individu yang berkemahiran tinggi cenderung untuk lebih produktif sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti keseluruhan komuniti.

“PSH membolehkan orang dari pelbagai latar belakang untuk belajar bersama, memupuk semangat kekitaan dan keharmonian dalam komuniti,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Beliau berkata, PSH yang ditawarkan KKTBS menyediakan peluang pembelajaran kepada semua peringkat umur serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran dan pembangunan.

Selain itu jelasnya, ia juga dapat meningkatkan kualiti hidup termasuk dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan kerana PSH merangkumi kursus tentang kesihatan, pemakanan, dan kesejahteraan yang membantu individu meningkatkan kualiti hidup.

“Dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui PSH, individu lebih bersedia untuk menghadapi cabaran hidup, termasuk perubahan ekonomi dan sosial.


AKTIVITI: Liza (kiri) dan Zaini (dua kiri) melihat peserta menjalankan aktiviti semasa kursus PSH di KKTBS.

“PSH turut menggalakkan pembelajaran berterusan yang membawa kepada perkembangan peribadi dan kepuasan diri. Justeru, ini membantu mereka lebih berjaya dalam kehidupan.

“Pada masa sama, program ini juga menggalakkan kreativiti dan inovasi dengan mendedahkan setiap peserta kepada idea-idea baharu dan cara pemikiran yang berbeza,” jelasnya.

Liza berkata, Kolej Komuniti Tambunan, menganjurkan program khusus untuk komuniti setempat seperti kursus keusahawanan, pertanian moden, pengurusan perniagaan kecil dan yang terkini, KKTBS sedang giat membantu komuniti di Kampung Pahu Tambunan untuk persediaan aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti di kampung itu.

Katanya, KKTBS juga boleh menyediakan latihan dan bengkel untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan profesional bagi penduduk setempat, menjadikan mereka lebih kompeten dan produktif.

Sehubungan itu beliau berkata, dengan pelaksanaan PSH yang berkesan, KKTBS dapat membantu memperkukuhkan komuniti setempat, meningkatkan kebolehpasaran dan produktiviti penduduk, serta menyokong pembangunan ekonomi dan sosial yang berterusan.

“Secara keseluruhan, kewujudan KKTBS berpotensi besar dalam memajukan PSH terutamanya di kawasan setempat. 

“Setakat 30 Julai 2024, KKTBS berjaya menyediakan sebanyak 42 kursus melibatkan peserta seramai 730 orang dan jumlah ini dijangka meningkat sehingga hujung tahun ini memandangkan permintaan terhadap kursus pendek di KKTBS semakin meningkat.
 
“Dengan pendekatan yang komprehensif dan berfokus kepada keperluan komuniti, KKTBS dapat menjadi pusat kecemerlangan dalam PSH sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan pembangunan berterusan bagi masyarakat setempat,” katanya.

Menerusi inisiatif ini juga, beliau berharap KKTBS menjadi salah satu daripada Pusat Kecemerlangan PSH agar kolej itu dapat terus berkembang dalam menyediakan pelbagai program dan kursus berkualiti tinggi yang relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.

Pihaknya juga mahu KKTBS dapat menjalin lebih banyak kerjasama dengan industri tempatan dan nasional untuk memastikan kursus yang ditawarkan relevan dengan keperluan pasaran kerja, serta menyediakan peluang penempatan dan latihan industri kepada pelajar.

“Diharap KKTBS dapat menjadi institusi yang inklusif, membuka pintu kepada semua golongan masyarakat, termasuk mereka yang kurang berkemampuan, golongan orang kelainan kurang upaya (OKU), dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Justeru, masyarakat setempat jangan lepaskan peluang yang disediakan oleh KKTBS dengan mengambil kursus yang boleh meningkatkan kemahiran dan pengetahuan anda.


SEMANGAT: Zaini (kanan) bergambar bersama Guranah (tengah) semasa mengadakan lawatan kerja ke KKTBS.

“Pembelajaran tidak seharusnya berhenti selepas tamat sekolah atau universiti. Teruslah belajar dan tingkatkan kemahiran anda sepanjang hayat supaya membantu anda kekal relevan dalam dunia yang sentiasa berubah.

“Gunakan kemudahan dan sumber yang ada di KKTBS seperti perpustakaan, makmal, bengkel, dan platform pembelajaran dalam talian untuk meningkatkan pembelajaran serta sertailah aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh KKTBS dan libatkan diri dalam komuniti pembelajaran,” jelasnya.

Liza berharap masyarakat supaya tidak takut untuk bermula tidak mengira berapa usia atau latar belakang kerana pembelajaran adalah satu perjalanan yang boleh dimulakan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Sementara itu, salah seorang peserta Kursus Motivasi dan Keusahawanan di KKTBS, Guranah Ipat, 75, dari Komuniti Kuala Namadan Tambunan menyifatkan peluang mengikuti program PSH membantu dirinya menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran baharu.

Biarpun sudah berusia lanjut, namun ia bukan penghalang kepada petani kampung sepertinya untuk terus mempelajari pengetahuan baharu terutama melibatkan bidang pertanian.

“Sepanjang enam hari mengikuti program ini, saya amat gembira kerana perkongsian dan ilmu yang disediakan pihak KKTBS sangat berguna kepada saya.

“Walaupun saya menyara keluarga dengan hasil bercucuk tanam, namun apa yang saya pelajari menerusi kursus di kolej ini sangat berguna dalam  menghasilkan produk tanaman yang lebih berkualiti.

“Melalui aktiviti yang dijalankan, saya mempelajari teknik baharu dari segi penanaman, penuaian hinggalah cara terbaik untuk membersihkan kawasan tanaman,” katanya.

Pada awalnya, Guranah kurang berminat untuk mengikuti PSH memandangkan jarak rumahnya yang agak jauh dari KKTBS. Namun hasil ajakan, rakan sekampung, beliau menjadi bersemangat untuk menjadi sebahagian daripada peserta bertuah program PSH.

Beliau juga tidak pernah mengikuti kursus seumpama ini dan menganggap peluang berharga ini perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Pada masa sama, Guranah juga sedar kemampuan dirinya dan hanya mengikut aktiviti yang bersesuaian dengan tahap kemampuannya.

Beliau berharap, masyarakat setempat terutama golongan belia supaya merebut setiap peluang untuk menambah kemahiran dan pengetahuan diri seperti apa yang ditawarkan dalam PSH di KKTBS.

Pihaknya juga mahu program PSH diteruskan di KKTBS dengan melibatkan lebih ramai komuniti setempat termasuklah warga emas yang berkeupayaan menjalani aktiviti sepanjang program.

— UB

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment