Home » Semangat kesukarelawan perlu diperkasakan
Politik Sudut Pandangan

Semangat kesukarelawan perlu diperkasakan

Semangat sukarelawan memberi kelebihan pada parti kerana mereka ini tidak mengharapkan apa-apa balasan, melainkan kepuasan kerana turut sama berjuang, turut sama memperkasa parti, turut sama memenangkan parti, dan menjadi kebanggaan mereka apabila parti dapat menubuhkan kerajaan - Penulis

PARTI politik adalah sebuah organisasi sukarela. Atas sebab sukarela, maka mereka yang menyertai juga berpandukan pada semangat kesukarelawanan.

Mana-mana parti politik yang ramai sukarelawan biasanya berhayat panjang, kerana mereka yang menjadi penyokong meneruskan perjuangan sehingga matlamat parti tercapai.

Parti DAP tidak terbayang menjadi kerajaan Pulau Pinang pada tahun 2008, kemudian sebahagian kerajaan Persekutuan, 2018-2020, dan kemudian 2022-kini. Demikian juga PKR, tidak terfikir menjadi kerajaan Selangor pada tahun 2008-kini, dan sama dengan DAP menjadi kerajaan Persekutuan dalam tempoh yang sama.

Punca DAP dan PKR terus bertahan kerana ramainya sukarelawan, terutama DAP, kerana parti itu ternampak sangat sedikit keahlian, atas sebab setiap mesyuarat, jumlah keahlian, jika diperingkat negeri hanya ratusan.

Selain DAP dan PKR, Parti PAS juga ramai sukarelawan, malah parti tulang belakang Perikatan Nasional itu ramai simpatisan.

Antara DAP, PKR dan PAS, berbeza dengan UMNO yang berpandukan pada keahlian. Pendekatan Umno ditiru oleh parti-parti serpihan parti itu yang juga mengutamakan jumlah keahlian.

Kerana faktor keahlian berlaku isu perebutan keahlian, sehingga mengundang permusuhan antara parti walaupun dalam satu gabungan.

Semangat sukarelawan memberi kelebihan pada parti kerana mereka ini tidak mengharapkan apa-apa balasan, melainkan kepuasan kerana turut sama berjuang, turut sama memperkasa parti, turut sama memenangkan parti, dan menjadi kebanggaan mereka apabila parti dapat menubuhkan kerajaan.

Malangnya semangat sukarelawan yang disumbangkan ada pihak (bidan terjun) mengambil kesempatan, seolah-olah kerana mereka parti mendapat sokongan.

Keadaan ini berlaku apabila ada perorangan yang dilihat oleh pemimpin parti boleh menjadi perantara dengan pertimbangan daripada segi integriti, kredibilti, keupayaan, dan diharapkan tanggungjawab dan amanah diberikan dapat memperkasa parti termasuk membela kepimpinan serta kerajaan.

Pertimbangan itu diterjemahkan menerusi jawatan-jawatan politik atau jawatan-jawatan berbayar dan berelaun.

Tugas mereka adalah membantu pemimpin, wakil rakyat dan juga kerajaan yang diterajui parti agar terus diterima rakyat.

Mereka yang diberi tanggungjawab perlu berada dibaris hadapan, kerana kretiria mereka dipilih menurut pandangan pemimpin adalah insan-insan terpilih daripada ratusan ribu ahli sebagai penyampai dan perantara yang berkreabiliti kepada rakyat.

Jika mereka tidak mengambil peluang pada kepercayaan dan amanah yang diberikan, dan bertindak sambil lewa, apatah lagi asyik memagari pemimpin, bertindak sebagai pengelipur lara, maka akhirnya parti yang rugi termasuk ditolak rakyat pada pilihan raya.
Mereka yang diberi tanggungjawab perlu meneruskan sifat kesukarelawan kerana sifat demikian sangat mustahak pada perjalanan parti. Fikir-Fikirkan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .