Home » Pengukuhan negara bangsa penting: Christina
Berita Tempatan Politik

Pengukuhan negara bangsa penting: Christina

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew, (empat dari kiri) mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Himpunan Perdana Rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada Ahad di sini.

KOTA KINABALU: Pengukuhan sesebuah negara bangsa amat penting kerana hanya perpaduan mampu menyatukan masyarakat Malaysia.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya tidak mahu wujud sebarang konflik yang hanya merugikan negara.

“Saya tidak khuatir kerana yakin rakyat Malaysia mampu bersatu, namun apa yang membimbangkan adalah perpecahan kerana politik.

“Inilah yang dibawa pembangkang hari ini yang memainkan sentimen perkauman dengan teruk. 

“Mereka cuba memecah belahkan rakyat dengan fitnah-fitnah yang mampu menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama,” katanya pada Himpunan Perdana Rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pembangkang tahu mereka tidak mampu menumbangkan kerajaan kerana kerajaan hari ini mendapat sokongan dari semua pihak.

Oleh itu katanya, mereka menwujudkan propaganda bagi menimbulkan ketegangan. 

“Kesannya sudah pasti pelancong tidak berani untuk datang ke negara kita dan pelabur tidak yakin akan kestabilan kerajaan kita.

“Kerana itu kita berterima kasih dengan rakan-rakan dari kerajaan perpaduan kerana menunjukkan bahawa negara merupakan kepentingan utama yang perlu dijaga. 

“Ekonomi Malaysia antara paling kukuh di rantau ini, dari segi pelancongan setiap tahun jumlah pelancong meningkat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, semua berlaku kerana keyakinan mereka terhadap kestabilan Malaysia dan inilah kepentingan sebuah negara bangsa. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu berkata, PKR akan memainkan peranan penting dalam memacu dan memperkukuh Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

“Dari segi politik hari ini, kami buktikan kita dapat bersama. Walaupun program ini adalah program PKR…namun pimpinan utama semua parti tempatan hadir memberikan sokongan. 

“Kita akan pastikan untuk terus memperkukuh kesatuan agar segala yang kita rancang demi kebaikan Sabah dan Malaysia dapat dicapai dengan mudah,” katanya.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment