Home » Membantu usaha dakwah Usia
Berita Tempatan

Membantu usaha dakwah Usia

ARIFIN (tengah) bersama Sapawi (kanan) semasa simbolik perasmian pelancaran majlis itu.

PERSATUAN Islam Bersatu Sabah (Usia) disaran melaksanakan usaha dakwah melalui Pelan Strategik Pembugaran Usia agar gerakan itu lebih sistematik dan seiring dengan era digital semasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata rancangan itu akan menjadi dimensi baharu kepada Usia untuk meningkat dan memperkasakan semula peranannya, terutama dalam aktiviti dakwah seperti yang dilakukan pada awal penubuhannya.

Beliau berkata, dakwah boleh disampaikan dengan lebih berkesan sekiranya pendakwah dan pertubuhan Islam memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi kerana semua maklumat kini boleh dicapai di hujung jari.

“Kita perlu meneroka pelbagai ilmu disiplin seperti sains dan teknologi agar usaha dakwah yang dijalankan dapat diperkasakan dan lebih proaktif.

“Pelbagai ilmu seperti ini akan membolehkan kita memberi kefahaman dalam menjadikan misi kepada kumpulan sasar lebih berkesan dan kualitatif,” katanya pada majlis pelancaran rasmi Pelan Strategik Pembugaran Usia 2022-2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu pada 15 Oktober.  

Ucapan beliau dibacakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.Ketua Menteri berkata peranan dan sumbangan Usia terhadap umat Islam dan rakyat Sabah secara keseluruhannya amat besar sejak penubuhannya oleh pengasasnya, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun serta peranannya sebagai perintis dalam gerakan dakwah Islamiah di Sabah.

Beliau turut melahirkan harapan agar Usia bekerjasama dengan persatuan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan lain dalam menggerakkan aktiviti dakwah Islamiah di negeri ini.

EDITOR