Home » Isu jalan rosak: Tanggungjawab bersama
Berita Tempatan Politik

Isu jalan rosak: Tanggungjawab bersama

Pengerusi Yayasan Pengguna Malaysia cawangan Sabah, David Chan.

ISU jalan rosak dan berlubang-lubang, terus menjadi perdebatan hangat mutakhir ini. 

Banyak kritikan dihambur menerusi pelbagai platform, terutama media sosial. Juga kecaman pada kerajaan — daripada pimpinan sehingga kepada kementerian, jabatan dan agensi berkaitan jalan.

Saluran media sosial yang diguna pengkritik-pengkritik ini bukanlah wadah tepat menyampaikan informasi, sebaliknya sekadar tempat meluahkan emosi, meraih simpati dan populariti.

Menyedari pentingnya segala rungutan itu ditangani, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membangunkan satu aplikasi khusus, dikenali MYJalan, bagi memudahkan orang ramai dan pengguna membuat aduan berkaitan kerosakan jalan raya di seluruh negara.

Dibangunkan sejak setahun lalu, inisiatif ini merupakan platform tepat menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan kerosakan jalan raya, seperti jalan berlubang-lubang.

Menerusi aplikasi MYJalan ini, tindakan segera dapat diambil bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, sekali gus membantu mengurangkan kes kemalangan yang berpunca daripada kerosakan jalan berkenaan.

Mengikut laporan, sebanyak 17,157 aduan diterima sejak permulaan kempen MYJalan pada 1 Ogos sehingga 29 Julai 2024.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,178 aduan atau 30.18 peratus membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR.

Manakala aduan terbanyak iaitu 11,979 aduan atau 69.82 peratus adalah membabitkan jalan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan lain-lain. 

Semua aduan yang diterima kemudian disalurkan kepada jabatan berkenaan untuk dilaksana tindakan penyelesaian.

Hasilnya, daripada 5,178 aduan yang diterima berkaitan KKR, sebanyak 4,772 kes atau 92.16 peratus aduan telah diselesaikan oleh agensi KKR, manakala baki 406 aduan sedang dalam proses tindakan.

Selain itu, kerajaan turut menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak yang disertai tiga kementerian, iaitu KKR, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengatasi isu kerosakan dan penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara.

Beberapa pemimpin kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah menyifatkan pembangunan aplikasi MYJalan ini sebagai pendekatan proaktif untuk memastikan aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan sentiasa menjadi keutamaan.

Yang penting, inisiatif berkenaan perlu disebar luas supaya semua segmen masyarakat mengetahuinya, sekali gus memanfaatkan kemudahan itu.

Pengerusi Yayasan Pengguna Malaysia cawangan Sabah, David Chan, berkata ini penting kerana tugas memastikan keadaan jalan raya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.

Sehubungan itu, katanya, satu program kempen kesedaraan secara menyeluruh penting untuk dilaksanakan.

“Ini harus melibatkan semua kementerian dan agensi berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, serta pejabat tanah. 

“Inisiatif pendidikan awam juga boleh dijalankan melalui media massa, platform media sosial, dan program libat urus komuniti. 

“Inisiatif ini perlu menekankan tanggungjawab bersama dalam menjaga jalan raya, dengan menggalakkan bukan sahaja badan kerajaan, tetapi juga entiti swasta dan orang awam untuk melaporkan isu dengan segera. 

“Usaha kerjasama, seperti pasukan petugas antara agensi, boleh diwujudkan untuk memperkemas komunikasi dan tindakan, memastikan setiap aduan ditangani,” katanya.

David turut menggariskan lima cadangan untuk memperbaiki sistem aduan MYJalan, sekali gus memperkasa penglibatan semua pihak dalam menangani isu-isu berkaitan kerosakan jalan raya.

REDONAH
REDONAH

Pertama, aplikasi mesra pengguna dan menarik yang memudahkan pengguna membuat aduan dengan langkah minimum.

Kedua, memperkenalkan ciri-ciri yang membolehkan pengguna menjejaki status aduan mereka secara masa nyata, menyediakan ketelusan dan akauntabiliti.

Ketiga, memperkenalkan sistem ganjaran untuk pengguna yang kerap melaporkan isu-isu yang sah, yang boleh menggalakkan penyertaan yang lebih aktif.

Keempat, mewujudkan forum dalam aplikasi di mana pengguna boleh membincangkan dan mengundi isu yang paling mendesak di kawasan mereka, membantu untuk memprioritikan kes yang kritikal.

Kelima, memastikan aplikasi ini menyokong pelbagai bahasa, termasuk dialek tempatan, bagi menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelbagai kumpulan pengguna.

David juga berkata NGO dan komuniti setempat memainkan peranan penting dalam kejayaan sistem MyJalan. 

“Mereka boleh bertindak sebagai penghubung antara orang awam dan pihak berkuasa, membantu mendidik dan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan platform ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, NGO boleh menganjurkan bengkel komuniti untuk menunjukkan cara menggunakan aplikasi MyJalan dengan berkesan. 

“Mereka juga boleh mengumpul dan menyusun data mengenai isu jalan yang biasa untuk diserahkan kepada kerajaan, dengan menekankan masalah sistemik yang memerlukan campur tangan yang lebih besar. 

“Selain itu, pemimpin komuniti boleh memupuk rasa kepunyaan dalam kalangan penduduk, menggalakkan mereka untuk mengambil berat dalam penyelenggaraan infrastruktur tempatan mereka dengan kerap menggunakan sistem MyJalan untuk melaporkan isu,” katanya.

Sebagai pemimpin pengguna, David mengalu-alukan orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau penjelasan, untuk menghubunginya.

Sementara itu, Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sabah, Datuk Redonah Bahanda, berkata mengucapkan tahniah kepada KKR dan agensinya atas inisiatif melaksanakan Kempen MYJalan sejak setahun lalu.

LEE
LEE

Katanya, pengenalan aplikasi MYJalan itu memudahkan orang ramai dan pengguna jalan untuk membuat aduan terhadap kerosakan atau kemudahan jalan raya kepada agensi yang terbabit.  

Selain itu, aplikasi berkenaan juga medan penyaluran informasi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hal berkaitan jalan raya.

Beliau berkata program kesedaran juga boleh dibuat dengan mengadakan program ceramah dan taklimat secara fizikal di peringkat sekolah menengah, institut pengajian tinggi dan juga kepada penjawat awam di semua agensi kerajaan. 

“Informasi kesedaran mengenai kebertanggungjawaban terhadap jalan juga perlu disiarkan melalui papan tanda (billboard) jalan yang ada dengan kerjasama pihak pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Mengenai penambahbaikan MYJalan dan pengaduan, Redonah yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri mengesyorkan supaya kaunter khas diwujudkan di beberapa kawasan atau premis yang menjadi kunjungan orang awam untuk mendapatkan informasi dan menyalurkan aduan tersebut.

Katanya, MYJalan bertujuan meningkatkan akauntabiliti dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama.  

“Dan kita sedia maklum aduan MYJalan KKR ini menggunakan capaian internet dan sudah tentu di beberapa kawasan di Sabah capaian internet kita masih dalam proses penambahbaikan.

“Justeru, saya syorkan juga kaunter-kaunter khas (disediakan akses) diwujudkan di kawasan dan premis yang menjadi tumpuan orang awam,” katanya.
Mengenai peranan NGO, Redonah berkata banyak NGO di Sabah sangat aktif bergerak bukan sahaja di bandar, tetapi juga sehingga ke kawasan pedalaman. 

Justeru, katanya, adalah lebih baik jika pihak KKR bekerjasama dengan NGO di kawasan  dikenal pasti untuk mengangkat mereka sebagai ‘duta’ kepada KKR.  

“Sudah tentu NGO tersebut akan menyampaikan segala informasi mengenai hal ini melalui program yang mereka laksanakan sehingga ke akar-umbi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, sependapat bahawa isu keselamatan jalan raya adalah perkara yang perlu dititikberatkan dari semasa ke semasa. 

Menurutnya, selagi mana jalan raya digunakan oleh pelbagai golongan dan rakyat, selagi itulah keselamatan jalan raya perlu dipandang serius oleh pelbagai pihak. 

“Pelbagai saluran telah saya ambil untuk menyampaikan tentang keselamatan dan kesihatan kepada seluruh pihak baik daripada pengguna, pihak berkuasa malah hingga ke Perdana Menteri. 

“Baru-baru ini, saya berasa tersentuh hati apabila isu yang saya sampaikan mengenai keselamatan jalan raya kepada Perdana Menteri telah dibawa oleh Perdana Menteri ke dalam mesyuarat Kabinet.

“Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan kepada pelbagai agensi dan kementerian yang berkenaan untuk menitikberatkan perihal keselamatan jalan raya ini,” katanya.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Kempen MYJalan di Jeti Awam Pulau Banding, Gerik, Perak. Turut hadir Menteri Besar Negeri Perak, Dato Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
LANCAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Kempen MYJalan di Jeti Awam Pulau Banding, Gerik, Perak. Turut hadir Menteri Besar Negeri Perak, Dato Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Lee berkata isu keselamatan jalan raya ini sudahpun sampai ke peringkat tertinggi dan arahan telahpun dikeluarkan. 

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah pihak berkenaan memastikan bahawa segala arahan ini dikuatkuasakan dengan betul. 

“Arahan tanpa penguatkuasaan yang serius adalah umpama menepuk air di daun keladi. 

“Justeru semua pihak harus memainkan peranan sebaik mungkin bagi memastikan bahawa semua orang mula serius dalam mengambil berat akan perihal isu keselamatan jalan raya,” katanya.

— TAMAT