Home » Gagasan Rakyat Kuamut buat empat laporan polis berhubung video fitnah Hajiji dan Masiung
Berita Tempatan Politik

Gagasan Rakyat Kuamut buat empat laporan polis berhubung video fitnah Hajiji dan Masiung

Willy Frous (kiri) bersama rakannya membuat laporan polis di Sandakan.

SANDAKAN: Sebanyak empat laporan polis dibuat berhubung penyebaran dua video berunsur fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

Laporan polis itu dibuat di balai polis bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Penampang serta Balai Polis Karamunsing di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Willy Frous Darinsok berkata, penyebaran video itu adalah bermotifkan politik dan bertujuan mengaibkan kedua-dua pemimpin tersebut.

“Video pertama berdurasi dua minit 57 saat tersebut menuduh Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengambil komisen sebanyak RM2 juta daripada projek baharu lembaga itu.

“Tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana Masiung tidak mempunyai kuasa eksekutif meluluskan atau merobohkan bangunan lama kerana ia memerlukan kelulusan kabinet negeri,” katanya selepas laporan dibuat di Balai Polis Seguntur, Batu 8, sini pada Selasa.

Willy Frous yang juga pegawai di LPPB berkata, tindakan susulan akan diambil iaitu membawa pihak tersebut ke muka pengadilan.

“Video itu turut mendakwa Masiung menghalau penghuni rumah pangsa Tanjung Aru dalam masa yang singkat tanpa melalui prosedur yang sah.

“Bangunan rumah pangsa itu sudah berusia lebih 50 tahun di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juruperunding melaporkan bahawa struktur bangunan sudah usang dan tidak selamat untuk didiami,” katanya.

Willy Frous berkata, ramai penghuni sudah mengosongkan rumah tersebut tetapi ada hampir 100 penghuni lagi yang enggan berpindah.

“Jadi, situasi ini digunakan oleh segelintir pemimpin pembangkang untuk mencari pengaruh politik peribadi sehingga wujudnya penyebaran video berunsur fitnah,” dakwanya.

Sebuah lagi video turut mengaitkan Masiung dan Hajiji berhubung projek kilang klinker dan simen di Tongod.

Selain itu terdapat dakwaan bahawa rumah Masiung yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat itu diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung isu kilang tersebut, namun ia hanya fitnah.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy mengesahkan pihaknya ada menerima dua laporan polis pada Ahad lalu.

“Laporan itu berkaitan dua video yang tular di media sosial mengaitkan Datuk Masiung Banah terhadap isu salah guna kuasa dan rasuah melibatkan projek klinker dan simen di Tongod serta projek baharu LPPB di tapak rumah pangsa Tanjung Aru.

“Kedua-dua laporan tersebut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.

Ramasamy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih.

— TAMAT