Home » RM60 juta untuk bina fasa 3 IPDAS Keningau
Berita Tempatan Politik

RM60 juta untuk bina fasa 3 IPDAS Keningau

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan tetamu khas lain bergambar bersama para penerima anugerah khas sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke 18 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau di Dewan Tun Sakaran institut itu pada Selasa.

KENINGAU: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk pembinaan fasa ke-3 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau bagi menampung pertambahan pelajar seramai 300 orang.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembinaan yang sedang berjalan itu dijangka siap pada Mac 2026, menjadikan kapasiti sebenar mahasiswa yang boleh ditampung oleh IPDAS Kampus Keningau, kepada seramai 700 orang.


“Saya yakin, dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, IPDAS akan dibekalkan dengan para pensyarah dan tenaga kerja yang terlatih dan mencukupi, bagi memastikan projek ini bukan sahaja mampu memberi kemudahan infra yang lebih kondusif kepada para mahasiswa dan warga kerjanya, bahkan mampu melonjakkan lagi tahap kualiti pendidikan di Sabah”.


“Saya amat mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil berat soal menaiktaraf kemudahan pendidikan di Sabah, khususnya IPDAS”, katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-18,Tahun 2024
di Dewan Tun Sakaran, IPDAS pada Selasa.

Beliau yakin IPDAS sebagai sebuah institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah JAKIM berupaya menggalas tanggungjawab melahirkan generasi Rabbani yang berpendidikan tinggi, membentuk modal insan yang berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam kalangan masyarakat.


Katanya, kerajaan negeri mempelawa para pelabur datang dan melabur di Sabah dengan tujuan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, sekaligus mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.


Menurutnya, ini juga mendedahkan anak-anak tempatan kepada berbagai jenis latihan, termasuk latihan kemahiran, disamping menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini.


“Ini sebenarnya merupakan aktiviti ke arah pembangunan modal insan, disamping pembangunan sektor ekonomi negeri seperti yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri sekarang”, katanya.


Katanya, dengan adanya para pelabur asing membuka kilang, mendirikan gedung-gedung perniagaan, melabur dalam pelbagai bidang pertanian dan perindustrian akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment