Home » Gagasan Rakyat Tambunan cecah 8,000 keahlian
Berita Tempatan Politik

Gagasan Rakyat Tambunan cecah 8,000 keahlian

AHLI BAHARU: Victor (kiri) menerima borang keahlian wakil daripada Cawangan Solibog, Tambunan.

TAMBUNAN: Sambutan luar biasa daripada masyarakat terhadap Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan didorong komitmen parti yang sentiasa cakna terhadap gerak kerja membantu rakyat.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P, Paut berkata, kepelbagaian program membantu rakyat berjaya memperkukuh aliran hubungan masyarakat pelbagai peringkat ke arah jalinan yang harmoni dan semangat perpaduan khususnya dalam kalangan penduduk setempat.

“Komitmen tinggi kepimpinan parti membela masyarakat tanpa mengira status, kedudukan, jantina, golongan tua, generasi muda turut mendorong mereka menyertai Gagasan Rakyat.

“Sebagai contoh, hari ini Gagasan Rakyat Tambunan telah menerima kemasukan seramai 450 ahli baharu sama ada daripada cawangan-cawangan sedia ada mahupun cawangan baharu yang ditubuhkan,” katanya.

Cawangan-cawangan berkenaan ialah Pupuloton, Solibog, Lalapakon, Katagayan, Lubong, Nambayan, Punonoburan dan Munsok Tengah.

“Dengan tambahan jumlah itu, keahlian Gagasan Rakyat Tambunan kini mencecah seramai 8,000 orang,” katanya.

Victor juga memaklumkan bahawa hampir setiap hari pejabat bahagian parti itu tidak putus-putus menerima keahlian baru, sama ada secara individu mahupun berkumpulan. 

“Mereka datang sendiri dengan sukarela ke pejabat kami untuk mengisi borang keahlian parti.

“Boleh dikatakan pejabat Gagasan Rakyat Tambunan tidak pernah sunyi didatangi rakyat Tambunan yang ingin menjadi ahli parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penerimaan 450 ahli baharu parti itu, di pejabat Gagasan Rakyat, di sini baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai sambutan luar biasa rakyat Tambunan terhadap parti itu, Victor berkata, program dan gerak kerja yang diperhebatkan parti telah dinilai sendiri oleh rakyat.

“Bagi saya, rakyatlah yang menilai gerak kerja sesebuah parti dan saya percaya mereka nampak sendiri apa yang kami telah laksanakan dalam membela rakyat di Tambunan,” katanya.

Victor berkata, gerak kerja yang dilaksanakan Gagasan Rakyat Tambunan bukan hanya melibatkan program-program yang berskala besar tetapi juga pendekatan turun padang termasuk menyantuni mereka yang kesusahan, uzur dan yang ditimpa musibah malah ia diteruskan setiap masa.

“Ini adalah perjuangan parti dan komitmen pemimpin yang menarajui kepimpinan Gagasan Rakyat Tambunan untuk melibatkan diri dalam apa-apa sahaja aktiviti atau ruang membela rakyat,” katanya.

“Kita laksanakan Program Peduli Rakyat tanpa musim, jika sebahagian parti melaksanakanya kerana tujuan tertentu terutamanya menjelang pilihan raya, maka baharu turun padang membantu rakyat, tapi tidak bagi Gagasan Rakyat kerana kita sentiasa cakna terhadap gerak kerja membantu rakyat,” katanya.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment