Home » Penerima biasiswa PETRONAS dimohon manfaatkan peluang
Berita Tempatan Politik

Penerima biasiswa PETRONAS dimohon manfaatkan peluang

ALBUM: Hajiji (duduk tengah) bersama pegawai-pegawai kanan PETRONAS serta 12 penerima biasiswa merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Manfaatkan sepenuhnya peluang untuk mengembangkan ilmu dan kemahiran.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata demikian kepada para penerima Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS 2024 Sabah.

Hajiji meluangkan masa untuk bertemu dan bersalaman dengan 12 penerima daripada 107 yang dipilih dari Sabah tahun ini, di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
 
12 penerima ini adalah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Sabah dan antara 600 pelajar yang dipilih di seluruh negara untuk biasiswa itu.

“Selepas mendengar ucapan ringkas anda, saya gembira dan saya tidak ragu-ragu bahawa anda semua akan mempunyai masa depan yang cerah.

“Lakukan yang terbaik kerana anda adalah masa depan negeri yang akan membantu memacu pembangunan bangsa dan negeri,” katanya kepada pelajar.

Hajiji juga memuji PETRONAS atas sokongan berterusan terhadap pembangunan akademik belia dan menaja 107 pelajar dari Sabah untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang.

“Saya menghargai komitmen PETRONAS untuk membangunkan modal insan selaras yang dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengutamakan pembangunan modal insan dan memperuntukkan RM470 juta bagi tujuan itu, termasuk biasiswa dan pinjaman pelajaran.

“Tetapi ia tidak mencukupi dan itulah sebab kita melibatkan Yayasan Sabah dan menubuhkan Tabung Pendidikan Sabah untuk membantu membiayai pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif membantu pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dengan memberi setiap seorang daripada mereka bantuan one-off sebanyak RM200.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan one-off kepada mereka yang mendaftar di institusi pengajian tinggi. RM2,000 untuk kursus ijazah dan RM1,500 untuk kursus diploma.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment