Home » Kenyataan Pandikar Amin tidak tepat pada masanya – Jordan
Berita Tempatan Politik

Kenyataan Pandikar Amin tidak tepat pada masanya – Jordan

Jordan (kiri) menyifatkan kenyataan Pandikar (kanan) ini boleh disifatkan boleh mencemarkan imej GRS serta kepimpinan Ketua Menteri selaku Presiden Gagasan Rakyat.

PENSIANGAN :Kenyataan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di semua 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilihat tidak sesuai dibincangkan pad masa ini.

Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Jordan Jude Ellron berkata, beliau kurang bersetuju terhadap cadangan ini sekali gus disifatkan cuba mempersoalkan kuasa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selaku Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, setakat ini belum ada lagi kenyataan terbuka dikeluarkan Ketua Menteri berkaitan jumlah kerusi bakal ditandingi GRS pada PRN akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Kenyataan Pandikar Amin Mulia ini boleh disifatkan mencemarkan imej GRS serta kepimpinan Ketua Menteri selaku Presiden Gagasan Rakyat.

“Kita masih mempunyai baki masa yang mencukupi sebelum melangkah ke PRN Sabah…Kita harus memahami ketika ini Ketua Menteri masih lagi dilihat bekerja keras demi memastikan kemajuan Sabah dan rakyatnya secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jordan berkata, sifat Ketua Menteri yang sangat teliti serta sentiasa berhati-hati dalam membuat setiap keputusan yang akan laksanakannya untuk kebaikan semua.

“Adalah lebih baik kita serahkan atas kebijaksanaan Ketua Menteri dalam membuat setiap keputusan mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi GRS pada PRN kelak.

“Perbincangan mengenai pembahagian kerusi ini perlu dilaksanakan secara tertutup dan harus diperhalusi secara teliti bagi memastikan strategi dalaman tidak diketahui pihak lawan,” jelas Jordan.

— TAMAT