Home » Sambutan Hari Sabah satu sejarah kerajaan pimpinan Hajiji – Ewon
Berita Tempatan Politik

Sambutan Hari Sabah satu sejarah kerajaan pimpinan Hajiji – Ewon

Hajiji berkata demikian ketia ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam upacara Angkat Sumpah sempena Ulang Tahun ke-40 Persatuan Hakka Daerah Penampang, di Dewan Hakka, di sini, semalam.

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah yang julung kalinya dirai secara rasmi selepas diwartakan Jun lalu adalah satu sejarah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, bagaimanapun sejarah baharu perlu dicipta untuk membangun kemerdekaan.

“Terima kasih kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri yang telah mewartakan sambutan Hari Sabah tetapi itu adalah sejarah, pada saya yang penting adalah sejarah baharu yang kita harus cipta pada tahun-tahun akan datang.

“Kita mahu membangunkan Sabah dalam pelbagai sudut dan sudah tentu dalam sektor keusahawanan kita mempunyai tanggungajwab yang besar bagaimana memastikan Sabah boleh bersaing bukan hanya dengan negeri-negeri di semenanjung boleh bersaing dengan Sarawak tetapi boleh bersaing dengan jiran kita di Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketia ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam upacara Angkat Sumpah sempena Ulang Tahun ke-40 Persatuan Hakka Daerah Penampang, di Dewan Hakka, di sini, semalam.

Ewon berkata, Sabah perlu merebut peluang pembangunan ekonomi yang ada termasuk pemindahan ibu kota Indonesia ke Pulau Borneo.

“Dengan kerancakan pembangunan ekonomi yang sedang berlaku di negara-negara jiran, maka Sabah tiada pilihan kecuali melakukan yang tebaik untuk membangunkan sektor ekonomi dan keusahawanan di negeri ini.

“Di peringkat saya selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya memulakan dengan pelbaagai inisiatif baru,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif itu ialah membawa Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan ke Sabah. 

“Organisasi bukan kerajaan ini bertanggungjawab mengurus peruntukan kerajaan kepada golongan peniaga dan memberi pembiayaan mikro kepada peniaga kecil masyarakat Cina,” katanya.

Dalam hampir dua tahun Ewon menerajui KUSKOP, beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk memperkenalkan dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif baharu bertujuan membangunkan keusahawanan di Sabah dan Sarawak.

“Di peringkat kementerian, saya telah memberikan fokus besar kepada Sabah dan Sarawak. 

“Ini adalah sumbangan saya bagi memastikan Sabah terus membangun dalam sektor keusahawanan.

“Kita bukan setakat menyambut sejarah Hari Sabah tetapi harus mengisi sejarah itu dengan membina sejarah baharu,” katanya.

Antara inisiatif yang Ewon perkenalkan ialah geran keusahawanan khas untuk bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus yang dilaksanakan SME Corp, satu daripada agensi di bawah KUSKOP.

“Saya juga mahu pengambilan khas pelajar Sabah dan Sarawak untuk melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dengan menyediakan pembiayaan. 

“Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah daripada Yayasan Bank Rakyat ini untuk pelajar yang ibu bapa mereka ahli koperasi yang aktif,” katanya.

Selain itu katanya, Projek Tamu Desa iaitu pembinaan atau penaiktarafan gerai tamu khusus untuk Sabah dan Sarawak juga inisiatif baharu kementerian yang mula dilaksanakan tahun ini.

Ewon berkata, beliau akan melancarkan satu lagi inisiatif baharu kementerian iaitu skim pembiayaan tanpa kadar faedah untuk para penjaja dan peniaga kecil yang dilaksanakan oleh satu agensi di bawah kementeriannya.

“Tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian untuk membangunkan keusahawanan, saya akan memberikan fokus tambahan untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment