Home » Jentera Gagasan Rakyat diminta supaya tidak selesa
Berita Tempatan Politik

Jentera Gagasan Rakyat diminta supaya tidak selesa

TERIMA KASIH:Redonah menerima cenderakenangan daripada Dr Stephen.

KOTA KINABALU :Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan supaya tidak leka dengan pencapaian yang ada berikutan tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 sudah semakin hampir.

Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat (PGRS) Datuk Redonah Bahanda berkata, sebagai parti yang menyandang kerajaan, seluruh jentera perlu sedar bahawa mereka memikul tugas dan tanggungjawab besar mempertahankan parti.

Menurut beliau, setiap jentera harus bergerak secara proaktif mendekati akar umbi memberi penjelasan apa sahaja isu yang timbul selain mendapatkan maklum balas mengenai masalah dan keperluan rakyat.

“PRN sudah semakin hampir dan kita sebagai jentera parti tidak boleh lagi leka hanya kerana kita berada di pihak kerajaan.

“Hakikatnya berada di pihak kerajaan lebih sukar untuk mempertahankan pencapaian yang ada memandangkan pembangkang boleh bercakap dan berjanji mengenai apa sahaja walaupun realitinya mereka tidak mampu,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PGRS Bahagian Kepayan di sini hari ini.

KENANGAN:Redonah dan Dr Stephen bersama barisan PGRS bahagian Kepayan dan para pemerhati dari Parti-Parti komponen GRS semasa Mesyuarat Agung Tahunan PGRS Kepayan di Wisma Kinsabina.

Hadir sama Ketua Bahagian PGRS Kepayan Datuk Dr. Stephen Jacob Jimbangan, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Emmy Datuk Martin Idang, Penolong Setiausaha Gagasan Rakyat, Fahzean Mohiddin, Exco Wanita Gagasan Dr Davina Datuk Markus Majihi, Ketua Wanita Gagasan Likas, Halizah Din serta ahli jawatankuasa bahagian termasuk sayap-sayap dan para pemerhati dari Parti-Parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau berkata, setiap program di peringkat akar umbi tidak boleh dilaksanakan secara one-off sahaja sebaliknya perlu ada susulan termasuk memperkasakan program yang telah disempurnakan.

“Kita juga perlu sentiasa berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu pasukan dan bukan bergerak secara sendiri-sendiri. Tanpa pasukan yang mantap tidak mungkin kita mampu melaksanakan gerak kerja dengan baik.

“Begitu juga tanpa pasukan tidak mungkin kita dapat menahan asakan-asakan parti lawan yang sentiasa cuba mencari kelemahan kita. Mereka hanya bekerja mencari kelemahan sedangkan kita sebagai kerajaan bekerja membela nasib dan masa depan rakyat,” ujar beliau.

Katanya lagi, tanpa jentera yang berkesan, sukar bagi kerajaan untuk memberi kefahaman jelas kepada rakyat di peringkat akar umbi khususnya mengenai isu-isu berkaitan dengan ekonomi, kestabilan dan keselamatan.

“Rakyat perlu memahami betapa pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan dipimpin oleh orang yang berkebolehan. Bukan semua parti boleh menjadi kerajaan dan bukan semua orang boleh memimpin dengan baik.

“Rakyat perlu dijelaskan bahawa pimpinn kerajaan hari ini sudah mempunyai trek rekod yang baik dan mesti disokong serta diberi mandat untuk meneruskan pemerintahan secara stabil, aman dan berkesan,” tambah beliau.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment