Home » Empat negara mencatatkan kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah
Berita Tempatan Politik

Empat negara mencatatkan kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama warga Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah ketika hadir di Majlis Apresiasi Serumpun Kasih Seluhur Budi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Rabu.

KOTA KINABALU: Empat negara iaitu China, Brunei, Indonesia dan Filipina mencatatkan kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah pada tahun ini setakat bulan Ogos iaitu seramai 586,501 orang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, jumlah kemasukan pelawat asing dari empat negara ini dijangka akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

“Berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen negeri Sabah, kemasukan pelawat asing ke negeri ini dalam tempoh lima tahun iaitu 2020 sehingga Ogos 2024, jelas menunjukkan peningkatan drastik terutamanya dari negara China, Brunei, Indonesia dan Filipina.

“Mengambil kira rekod daripada Jabatan Imigresen itu, sebagai contoh untuk tempoh sepanjang tahun 2023 sahaja, jumlah kemasukan pelawat asing ke Sabah dari empat negara berkenaan adalah seramai 427,077 orang.

“Sesungguhnya, peningkatan ini adalah sesuatu yang sangat positif, khususnya dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini. 

“Saya juga berharap jumlah kemasukan pelawat asing dari negara-negara lain akan turut meningkat,” katanya sempena Majlis Apresiasi Serumpun Kasih Seluhur Budi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sistem tadbir urus dan kerjasama baik di antara kerajaan negeri dan Jabatan Imigresen Negeri Sabah dalam pengurusan imigresen yang efisien telah memudahkan kemasukan pelawat termasuk pelabur asing di negeri Sabah.

“Dengan menyediakan proses kemasukan dan permohonan pas yang mudah dan teratur, jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang mesra dan kondusif, selain menarik lebih ramai pelawat atau pelancong.

“Ia seterusnya membina keyakinan pelabur terhadap keupayaan negeri Sabah dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang berkembang maju, adalah penting untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan dalam kalangan warga Jabatan Imigresen negeri Sabah.

“Oleh itu, saya mahu agar semua warga Jabatan Imigresen negeri terus memberikan perkhidmatan yang cekap, mesra, berintegriti dan profesional. 

“Rakyat hari ini mempunyai pelbagai kehendak yang perlu disantuni dengan sebaiknya,” katanya.

Katanya, Sabah yang berkeluasan lebih 72,000 kilometer persegi sudah pasti memberi cabaran kepada Jabatan Imigresen Negeri dalam menguruskan kemasukan pelancong dan warga asing ke negeri ini.

“Justeru, komitmen semua pegawai dan warga Jabatan Imigresen negeri Sabah yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi khususnya dalam mengawal selia 11 pintu masuk di Sabah, amat dihargai.

“Dalam pada itu, kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran termasuk pembukaan Ibu Kota Nusantara Indonesia, sekali gus terdapat keperluan dalam aspek keselamatan rentas sempadan yang perlu dipertingkatkan di sempadan negeri ini dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan dua buah kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sabah iaitu di ICQS Bantul dan ICQS Serudong, pada tahun lalu.

“Hasil usaha kerjasama di antara Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan negeri, projek pembangunan di ICQS itu kini sedang dilaksanakan dalam merealisasikan hasrat pembukaan pintu sempadan antarabangsa darat yang pertama di Sabah,” katanya.

— TAMAT