Home » Penduduk Kampung Titingan diminta patuhi undang-undang: Nizam
Berita Tempatan Politik

Penduduk Kampung Titingan diminta patuhi undang-undang: Nizam

PENGHARGAAN: Nizam (tiga kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Aris.

TAWAU: Penduduk Kampung Titingan, di sini perlu sentiasa mematuhi undang-undang pihak berkuasa dan mengelak daripada melakukan sebarang jenayah yang merosakkan diri mereka sendiri.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penduduk di sini diminta supaya menjaga nama baik kampung dan tidak meletakkan ia sebagai zon panas dengan jenayah.

Katanya, Kampung Titingan adalah kawasan perkampungan berhampiran bandar yang cukup lama dan perlunya ia menjadi satu tempat yang selamat untuk orang ramai datang.

“Saya mahukan penduduk di sini terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam menjaga kampung ini daripada menjadi sarang penjenayah.

“Penduduk perlu menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan serta melaporkan sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah supaya kampung ini sentiasa dalam keadaan selamat,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Hari Malaysia Peringkat Kampung Titingan, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Aris Heru Utomo.

Mengulas lanjut, katanya, penduduk di sini diminta supaya tidak melindungi atau bersekongkol dengan penjenayah terutamanya pengedar dadah.

“Kita mahukan Kampung Titingan bersih daripada sebarang kegiatan jenayah dan menjadi rakan strategik kepada pasukan keselamatan memandangkan ia terletak di pesisir pantai,” katanya.

Mengulas mengenai majlis ini, katanya, inisiatif yang dianjurkan oleh warga penduduk di sini sangat baik bagi mengisi program yang berbentuk patriotik dan meraikan Hari Malaysia di peringkat kampung.

Katanya, semangat sebegini perlu ada dalam diri setiap warga Malaysia terutamanya di kawasan Apas dalam memelihara perpaduan dan kesatuan yang sudah lama terjalin.

“Saya berharap supaya penduduk di sini tidak berpecah dan sentiasa menyokong serta mendokong setiap agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan hari ini.

“Kita mahukan walaupun hidup dengan pelbagai kaum, bangsa dan agama, tetapi dapat meraikan setiap perbezaan serta menjalani kehidupan bersama-sama tanpa sebarang sengketa.

“Kestabilan politik yang dipimpin kerajaan negeri hari ini membolehkan pelbagai pembangunan dan kemajuan dilaksanakan demi manfaat seluruh rakyat tanpa terkecuali,” katanya.

–Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment