Home » Beliawanis Gagasan Rakyat komited dekati kumpulan UNDI18
Berita Tempatan Politik

Beliawanis Gagasan Rakyat komited dekati kumpulan UNDI18

Emmie berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Sukau di sini.

SUKAU : Pergerakan sayap Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) komited untuk mendekati kumpulan UNDI18 bagi memastikan pengundi muda menerima kehadiran parti itu sebagai rakan yang boleh dipercayai.

Ketua Pergerakan Beliawanis Pusat Gagasan Rakyat Emmie Martin Idang berkata, penubuhan sayap parti itu adalah bagi memberi fokus kepada kelompok wanita muda selain turut bekerjasama dengan sayap pemuda dan wanita parti itu.

“Dalam konteks beliawanis, sudah pastinya ini bermaksud kita memahami dan menjiwai fikiran serta denyut nadi mereka dan mewakili suara mereka ke lapangan yang sewajarnya.

“Adakalanya mungkin kehendak dan permintaan mereka daripada kelompok UNDI18 ini mungkin dilihat sedikit lantang ataupun mendesak. Namun, kita perlu cari kaedah yang sesuai agar mereka ini tidak merasa tercicir dan ketinggalan.

“Kerapkan penganjuran program dan aktiviti yang interaktif agar mereka sentiada merasakan keberadaan kita di kalangan mereka. Kita perlu tunjukkan kepada mereka bahawa kita tidak sombong dan ekslusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Sukau di sini.

Emmie berkata, sebagai jentera penggerak di lapangan perlu mengambil tahu berkaitan pencapaian-pencapaian dan rekod baik Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, pencapaian itu merupakan rekod cemerlang dibawah tampuk kepimpinan Ketua Menteri yang perlu disebarluaskan kepada segenap kelompok rakyat di negeri ini.

“Kita ada inisiatif-inisiatif bantuan antaranya penambahan pembinaan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan dimanfaatkan oleh golongan berpendapatan rendah, peningkatan peruntukan biasiswa selain pemberian bantuan RM2,000 kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Di samping itu juga, Kerajaan Negeri juga memfokuskan kepada pembangunan modal insan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM470juta melalui pelbagai program dan inisiatif,” katanya. 

— TAMAT