Home » Majlis khas ditubuhkan tangani perubahan iklim
Berita Tempatan Politik

Majlis khas ditubuhkan tangani perubahan iklim

DR Jeffrey menerima cenderamata daripada Nor Azmie pada sesi libat urus itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Tindakan lklim Sabah (SCAC) untuk menetapkan hala tuju serta menyelaras projek-projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di peringkat negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, Sabah telah membuat pindaan ke atas Ordinan Tanah Sabah Bab 68, dengan memasukkan peruntukan perundangan berkaitan penyimpanan karbon yang mula berkuat kuasa pada 19 Jun 2023.

“Selain itu, Sabah juga baru sahaja menyelesaikan kajian inventori Greenhouse Gas (GHG) Sabah dan penilaian kerentanan untuk pembangunan Dasar Perubahan lklim Sabah ke arah pembangunan rendah karbon Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi Malaysia Bersama Kerajaan Negeri Sabah Mengenai Pelaksanaan Inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan Dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Malaysia di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu pada Jumaat.

Hajiji diwakili oleh Timbalan Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Dato’ Nor Azmie Diron, Peguam Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh dan Setiausaha Persekutuan Sabah Dato’ Seri Haji Rosli Isa.

Ketua Menteri berkata, inisiatif CCUS juga selaras dengan iltizam Kerajaan Negeri dalam menangani isu perubahan iklim dan merealisasikan agenda teknologi hijau negara, serta sumbangan wilayah Sabah kepada komitmen negara merealisasikan “Nationally Determined Contributions (NDCs)”.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa Draf Rang Undang-Undang (RUU) CCUS sedang digubal di peringkat Kerajaan Persekutuan dan percaya semua pihak berkepentingan termasuklah kementerian persekutuan, pemain industri dan kerajaan negeri dilibatkan dalam menyediakan RUU yang komprehensif.

Beliau berkata, terdapat sembilan mesej utama untuk diketengahkan dalam pelan komunikasi mengenai inisiatif CCUS di Malaysia, merangkumi aspek manfaat ekonomi, perlindungan alam sekitar, kesiapsiagaan dan teknikal.Hajiji berkata, inisiatif CCUS adalah selamat dan diperlukan untuk membantu Malaysia mencapai Aspirasi Bersih Sifar pada menjelang 2050.

 CCUS mengurangkan impak perubahan iklim, pengurusan risiko CCUS melalui penggubalan perundangan dan peraturan komprehensif serta pengawalseliaan aktiviti yang berkesan.

“CCUS membantu Sektor Hard-To-Abate Tempatan bagi menangani Pelepasan Gas Karbon Dioksida, mengurangkan kos penyahkarbonan bagi sektor tersebut. 

“Malaysia berpotensi menjadi Hab Serantau CCUS dan ia mendorong pertumbuhan CCUS meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya.

Hajiji berharap menerusi kerjasama dengan Kementerian Ekonomi, input daripada Sabah diambil kira bagi memastikan Sabah tidak tertinggal dalam inisiatif CCUS.Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui kementerian, jabatan dan agensi berkaitannya, akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberikan input yang diperlukan dalam pelaksanaan inisiatif CCUS.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment