Home » Juara Impian TAWAUfm cungkil bakat baharu seni suara di Tawau
Berita Tempatan Politik

Juara Impian TAWAUfm cungkil bakat baharu seni suara di Tawau

PESERTA AKHIR: Nizam bersama pemenang dan peserta akhir pertandingan Juara Impian TAWAUfm.

TAWAU: Inisiatif Jabatan Penyiaran Sabah mengadakan pertandingan Juara Impian TAWAUfm dilihat mampu mencungkil bakat baharu seni suara, di daerah ini dan sekitarnya.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Sabah sememangnya mempunyai ramai bakat-bakat baharu dalam bidang seni termasuklah seni suara ataupun penyanyi.

Katanya, kerajaan negeri turut mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh artis-artis tempatan di Sabah dengan penajaan terhadap program-program realiti yang dianjurkan di negeri ini.

“Pertandingan Juara Impian TAWAUfm misalnya, kerajaan negeri telah memberikan sumbangan dan penajaan bagi melancarkan penganjuran ini.

“Justeru, kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sangat menyokong penuh setiap penganjuran program realiti di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika hadir menjadi tetamu kehormat dalam pertandingan akhir Juara Impian TAWAUfm 2024, pada Jumaat di sini.

Menurutnya, penganjuran yang diadakan dua tahun sekali ini cukup bermakna dan perlu diberikan sokongan supaya dapat melahirkan bakat-bakat baharu di negeri ini.

“Saya melihat program ini dapat memberikan peluang kepada belia-belia di daerah ini dan sekitarnya untuk menyerlahkan bakat nyanyian mereka.

“Kita yakin bahawa ini adalah langkah awal untuk belia menceburi bidang nyanyian dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Nizam (tengah) menerima cendera kenangan daripada Norfadzilah.PENGHARGAAN: Nizam (tengah) menerima cendera kenangan daripada Norfadzilah.
Sementara itu, Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim dalam kenyataannya berkata, pihaknya menzahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menaja program ini.

Katanya, pertandingan yang dianjurkan menerusi radio TAWAUfm ini menyaksikan seramai enam peserta berentap dalam pertandingan akhir iaitu Haimie Napsun, Sazly Ramli, Mohd Yusriansyah Yusof, Edia Jumat, Mohamad Nordin Mohamad Sha dan Enatasha Jahrin.

“Mereka adalah antara 32 peserta yang menyertai ujibakat di Tawau dan Lahad Datu pada 30 Jun dan 6 Julai lalu.

“Juara telah membawa pulang hadiah RM5,000, Naib Juara RM3,000 dan ketiga RM2,000 berserta trofi dan sijil,” katanya.

Terdahulu, Haimie telah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan berkenaan, Naib Juara Yusriansyah dan tempat ketiga diberikan kepada Sazly.

Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang; Timbalan Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Norfadzilah Hashim dan Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Ts. Cyril Simon.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment